NOBISHA
Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak baru saja selesai memberikan sidang media mengenai kehilangan pesawat MH370. Najib mengatakan, siasatan ini memasuki fasa kedua. Maksudnya, "milestone" pertama dalam siasatan telah dicapai.
Ada orang yang inginkan Perdana Menteri memberitahu kapalterbang itu telah dirampas dan sesuatu yang buruk telah berlaku. Apabila Najib menyatakan sebaliknya dalam sidang media itu, maka dia berkata dengan nada kecewa, "Apa yang Najib cakap ni?"
Nasihat saya ialah, marilah kita sama-sama berdoa agar insiden ini berakhir dengan baik. Biarlah kesemua anak-anak kapal dan penumpang berjaya diselamatkan. Insya-Allah!
Bagi saya, sidang media itu cukup melegakan kerana ia menyatakan tiga perkara penting:
Pertama, Najib mengesahkan maklumat yang sebelum ini tidak disahkan. Maklumat penting yang disahkan ialah pesawat dialihkan dari laluan asal orang seseorang yang berada dalam penerbangan tersebut. Soal yang harus dijawab dalam fasa kedua penyiasatan ialah: Siapakah yang melakukannya, dan apakah motif dia melakukan hal tersebut?
Kedua: Perdana Menteri sebutkan bahawa hasil analisis data, penyiasatan kini tertumpu kepada dua kawasan operasi di mana besar kemungkinan pesawat itu berada. Soalan fasa kedua ialah: Di mana lokasi tepat kapalterbang Boeing 777 itu?
Ketiga: Najib tidak memaklumkan sebarang kematian atau letupan kepada pesawat. Ini bermaksud tidak ada laporan kematian. Maklumat ini penting kepada keluarga mereka yang berada dalam pesawat. Orang yang mereka sayangi besar kemungkinan masih hidup. Soalan fasa kedua ialah: Bagaimanakah keadaan pesawat, penumpang dan kesemua anak-anak kapal sekarang?
Ada orang bertanya, mengapakah Najib hanya membuat dua sidang akhbar sepanjang lapan hari insiden ini berlaku?
Najib ialah Perdana Menteri dan beliau hanya mengumumkan kepada negara (dan dunia) apabila siasatan mencapai "milestone" yang tertentu. Sidang akhbar pertama ialah apabila beliau mengesahkan pesawat MH370 hilang dari radar. Sidang akhbar Najib yang kedua ialah apabila beliau mengesahkan maklumat penyiasatan yang dikumpulkan dan dianalisis secara bersepadu.
Saya percaya Najib akan hanya mengadakan sidang akhbar ketiga apabila salah satu, gabungan dua atau lebih soalan, atau kesemua soalan siasatan dalam fasa kedua di atas dapat dijawab.
Di antara sidang akhbar Perdana Menteri, maka Menteri Pengangkutan membuat sidang media setiap hari bagi melaporkan status siasatan, manakala pengawai-pegawai kanan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Malaysia Airlines and pasukan keselamatan memberikan maklumat teknikal (mengesahkan atau menafikan) kepada wartawan pada setiap dua atau tiga jam. Dengan cara ini, wartawan boleh melaporkan perkembangan dengan memetik sumber yang sahih.
Proses komunikasi ini disusun sedemikian rupa agar maklumat diberikan secara berstruktur. Kekeliruan timbul apabila wartawan bertanya soalan kepada pegawai-pegawai lain di luar sidang akhbar. Saya telah menyebutkan sebelum ini dan saya ulangi sekali lagi, dalam keadaan krisis seperti ini, maklumat yang diberikan kepada media hendaklah dari satu sumber saja iaitu dari sidang media di Hotel Sama-Sama. Selain dari itu, tak perlu jawab.
Tak perlulah menteri nak komen tentang pegawai imigresen atau arahkan nelayan cari serpihan pesawat. Begitu juga saya fikir tak perlulah anggota kabinet nak berbalah dengan bomoh. Siapa nak tampar siapa tak penting. Ini bukan masanya. Fokus kepada menyesaikan siasatan dan jawab soalan-soalan yang saya nyatakan tadi. Itu yang rakyat nak tahu.
Seperti drama, apabila banyak sangat sub-plot, akhirnya orang terlupa kepada cerita sebenar.
Dalam sidang media tadi, Najib telah membentangkan plot utama. Bertolak dari sinilah, kita harus bersama-sama mencari jawapan dan menyelesaikan misteri ini.
Itu yang Najib bercakap. Maka, saya fikir tak perlulah lagi ada orang yang nak jadi pelakon tambahan dan buat sub-plot lagi!
http://nobisha.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan