"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MH370: Berhentilah Mengharap

Esmael
"Apabila mendapat berita tentang kehilangan pesawat pada 8 Mac 2014, hati memang tergetus betapa ianya tidak melibatkan adik bongsu kami Wan Swaid. Harapan itu punah sekelip mata kerana ia berlaku sebaliknya. Beliau antara krew yang bertugas di dalam penerbangan tersebut. Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing.

Tidak banyak yang kami harapkan jika kemalangan itu berlaku pada paras 35000 kaki dari aras laut. Dari segi mental, keluarga telah bersedia sejak beliau memulakan tugas sebagai pramugara. Tugas yang nampak senang dan penuh glamor tetapi disisinya penuh dengan pengharapan agar suatu hari nanti beliau akan menjadi manusia yang mempunyai kehidupan seperti orang lain. Kehidupan yang normal, bukanya hidup di awan yang berisiko tinggi.

Hampir dua minggu berlalu, seluruh dunia maklum tentang kehilangan. Tetapi yang agak mendukacitakan kerja cari dan selamat masih menemui jalan buntu. Sidang akhbar demi sidang akhbar diadakan bertujuan memberi maklumat terkini dan tepat terhadap kejadian, namun ia juga tidak nampak sebarang kesudahan. Maklumat yang dikemukakan jauh dari melegakan pihak keluarga, sebaliknya menambah tekanan dan seolah-olah mereka hanya ingin mengatakan bahawa berhentilah mengharap !

Sekurangnya 7 teori kehilangan telah dikemukan oleh pihak kerajaan dan jumlahnya mungkin puluhan kalau dicampur dengan teori spekulasi yang mengalir melalui media altenatif terutamanya. Berita yang disiarkan tidak ubah seperti hanya bahan lawak-jenaka walaupun ia analisa yang canggih tentang rada atau teknologi penerbangan atau sejahil bomoh yang turut menumpang sekaki.

Siapapun yang mendengar berita tentang kehilangan kapal terbang di udara, tiada gambaran lain selain daripada ia kemungkinan besar berlakunya kerosakan dan kegagalan teknikal dan akhirnya terhempas. Skripnya agak straight forward, keja mencari biasa mengambil masa antara dua atau tiga hari dan bangkai atau serpihan pesawat akan ditemui dan pihak berwajib akan membuat pengumuman pengesahan tentang status kemalangan tersebut dan siapa yang terselamat dan siapa yang tidak. Dan drama tangis pihak keluarga terlibat akan beransur hilang dalam masa seminggu dua.

Tetapi ia tidak berlaku pada MH370. Kehilangannya dikategorikan sebagai 'kehilangan yang luar biasa'. Kerja cari dan selamat (SAR) nampaknya tidak mudah, ia berbelit dan seolah wujudnya tipu daya. Maklumatnya berubah-ubah selang beberapa hari. Bapak-bapak menteri yang terlibat pada mualanya nampak mesra rakyat sekarang lebih serius dan berserabut. Mereka seolah sudah hilang pedoman dan buntu.

Dua hari pertama, pihak bertanggungjawab seolah amat yakin bahawa kemalangan ini kemalangan biasa dan akan dikesan dalam masa terdekat. Waris terdekat diminta untuk bersedia dengan barang asas seperti pakaian dan paspot untuk dihantar ke lokasi kejadian yang masih rahsia. Pihak MAS atau DCA menyangkal keras tentang beberapa kemungkinan lain yang berlaku pada pesawat seperti kemungkinan pesawat dirampas tetapi nampaknya sekarang seolah mengiyakan pula.

Semakin hari ia menjadi semakin serabut dan penuh persoalan. Pencarian yang bermula di perairan Malaysia, dipersekitaran Laut China Selatan dan Telok Siam diperluaskan hari demi hari sehingga kini telah melangkaui kesebelah barat Malaysia sehingga ke India dan sempadan Banjaran Himalaya. Ada koridor utara, ada koridor selatan pulak yang luasnya jutaan kilometer persegi. 26 negara terlibat tentunya ribuaan pakar dan anggota keselamatan terlibat. Ini jelas menunjukkan keadaan semakin kusut.

Nampaknya juruterbang dan pembantunya pula dijadikan sasaran siasatan apabila Perdana Menteri dalam sidang akhbarnya tidak menolak kemungkinan berlakunya rampasan. Beberapa penumpang lain juga turut menjadi sasaran dan disyakki sebagai perampas. Prasangka ini timbul apabila tidak ada petunjuk selain kemungkinan berlakunya rampasan. Tetapi kejadian rampasan ini agak terbalik kerana kebiasaannya apabila berlaku rampasan, pihak perampas akan menuntut tebusan dalam bentuk jumlah wang atau lainnya, tetapi kali ini ia berlaku sebaliknya.

Kalaupun pihak kerajaan perlu membuat tuduhan seperti ini, adalah amat tidak wajar ia disiarkan melalui media sehingga ia terbukti. Tuduhan secara terbuka ini betul-betul menghina dan merobek hati saudara mara tertudah yang telah sedia maklum bersedih, apalagi saudara terdekat yang kenal dan rapat dengan yang tertuduh. Mereka sentiasa mengharapkan dan mendoakan sesuatu yang lebih baik.

Dua minggu berlalu yang masih buntu dan penuh trajis. Walaupun negara terlibat semakin bertambah begitu jugalah dengan kelengkapan dan peralatan mencari dan menyelamat, namun jika dianalisa kepada sidang akhbar yang diberikan oleh menteri terlibat tidak banyak berubah. Ia semacam pusingan dalam sebuah bulatan yang kecil, isunya berputar-puter kepada perkara yang sama hanya dalam susunan bahasa, suasana dan emosi sahaja yang berbeza.

Sidang akhbar yang diberikan sejak hari-hari terakhir ini tidak lebih dari menjaga hati dan emosi pihak yang terlibat terutama dikalangan keluarga. Tidak ada input baru selain daripada kenyataan yang semakin longgar dan tidak meyakinkan.

Persoalannya sekarang, sekiranya tempoh dua minggu berlalu dan pencarian ini masih gagal, apakah tindakan seterusnya dari pihak MAS atau kerajaan, apakah janji yang akan diberikan untuk melunakkan penantian yang semakin pudar ini ? Yang pasti tentunya ada teori baru mengenainya lagi.

Tiada ulasan: