"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kisah di sebalik tabir KTM

SHIRZAD LIFEBOAT  

CERITA kerugian MAS kini sudah menjadi cerita ‘koman’ dan basi. Tanpa suntikan modal tunai oleh kerajaan dan tanpa tindakan pasukan penyelamat bernama Khazanah Nasional, MAS sudah boleh dianggap lingkup.

Namun tulisan kali ini tidak bersifat analatik terhadap MAS tetapi menjurus kepada pengurusan dasar pengangkutan awam massa negara di bawah kerajaan Umno-BN sejak Merdeka.

Dan disebabkan banyak sudah diperkatakan tentang MAS baik dalam akhbar ini atau di media lain termasuk media kerajaan sendiri yang sedikit sebanyak melahirkan kesangsian dan ketidakyakinan terhadap sama ada pengurusan MAS atau cara syarikat penerbangan nasional itu diurus, maka kita ketepikan sahaja hal itu untuk seketika.

Dari langit biru kita turun ke bumi – meredah kota dan pekan, tepian tasik dan dataran, kampung dan penempatan SERTA tanah datar dan sawah terbentang – sebagaimana dialami oleh sesiapa yang pernah menggunakan perkhidmatan kereta api KTM.

Tidak seperti MAS, sejarah perkhidmatan kereta api bermula lama sebelum Merdeka. Buku teks sejarah memberitahu kita perkhidmatan kereta api pertama dibuka ialah pada 1885 di antara Taiping dan Kuala Sepetang (ketika itu dikenali sebagai Port Weld).

Tidak pasti sama ada kementerian bertanggungjawab ke atas sejarah berhasrat menjadikan relik mana-mana bangunan stesen kereta api Port Weld sebagai monumen nasional walaupun ia adalah mercu tanda kepada perkhidmatan kereta api negara ini.

Namun apa yang pasti pekan Kuala Sepetang hanyalah sebuah pekan perkampungan nelayan Melayu, justeru kewujudan mereka barangkali dianggap tidak begitu penting.

Mungkin ada pihak mahu bertelagah justifikasi mengekalkan nostalgia pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu. Demikianpun, suka atau tidak kita terpaksa akur kepada hakikat banyak peninggalan pentadbiran Inggeris yang menjadi permulaan kepada pelbagai perkhidmatan di negara ini termasuk perkhidmatan awam sendiri.

Dan suka atau tidak kita juga terpaksa akur betapa perkhidmatan keretapi di Malaysia ini adalah warisan dari pentadbiran Inggeris. Bezanya Inggeris menamakannya sempena nama bangsa Melayu iaitu Keretapi Tanah Melayu. Tapi selepas itu entah macam mana ada orang Umno-BN dalam kerajaan yang menukarkannya kepada KTM sahaja.

Bercakap tentang sejarah peninggalan Inggeris dalam bentuk perkhidmatan kereta api di negara yang pernah dijajah mereka, rata-rata ia membawa cerita keuntungan dan kejayaan tidak kira sama ada perkhidmatan berkenaan masih dimiliki oleh kerajaan mahupun telah diswastakan.

Di India misalnya, perkhidmatan kereta api yang dimulakan oleh pentadbiran Inggeris di negara itu pada 1853 kini berkembang menjadi perkhidmatan kereta api ke-4 terbesar di dunia merangkumi lebih daripada 64,000 kilometer landasan dan mengangkut lebih 7 bilion penumpang.

Di Afrika Selatan perkhidmatan kereta api dimulakan pada 1860. Kini perkhidmatan The Blue Line dari Cape Town – Johannesburg dan lain destinasi sepanjang 1,600 kilometer menjadi daya tarikan pelancong ke negara ini dan dianggap sebagai kereta api termewah di dunia.

Bagaimana pula dengan Malaysia setelah mengharungi 129 tahun sejarah? Sepatutnya dengan jumlah keseluruhan landasan hanya kurang daripada 1,700 kilometer SERTA dibantu oleh ‘so-called’ tokoh korporat Melayu (kebanyakannya mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin Umno) yang kehandalan mereka bercakap tentang pengurusan perniagaan dianggap boleh mengalahkan orang seperti Donald Trump atau Bill Gates serta diperkuatkan lagi dengan iklan Kementerian Pelancongan tentang betapa keindahan di Malaysia bertaraf syurga, maka tidak logik sekiranya perkhidmatan kereta api negara kini dikenali sebagai KTM mencatatkan kerugian demi kerugian dalam penyata kewangan mereka tahun demi tahun – sama ada ketika ia dimilik oleh kerajaan mahupun kini telah diswastakan.

Begitupun oleh kerana perihal apa yang berlaku di KTM tidak mendapat liputan atau disembunyikan daripada didedahkan di media milik BN, maka ramai tidak tahu keadaan sebenar. Lagipun KTM tidak disenaraikan dalam Bursa Malaysia justeru, selain daripada destinasi dan tambang, hal lain terlalu jarang diketahui umum.

Nampaknya, walaupun ceritanya tidak se ‘koman ‘ cerita MAS, KTM sebenarnya sedang tenat. Pada 3 September lalu, dua orang daripada pemimpin kesatuan sekerja Railwaymen’s Union of Malaya (RUM), Abdul Razak Md Hassan dan R Subramaniam telah dibuang kerja dan 110 orang pekerja KTM lagi sedang menunggu giliran mereka untuk dipecat ekoran penglibatan mereka dalam piket pada 9 Mei lalu walaupun tindakan tersebut menyalahi Seksyan 4 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang antara lain menyebut pengurusan tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal kesatuan sekerja.

Lagipun apa yang dituntut mereka ialah agar semua peralatan termasuk landasan kereta api diperbaiki atau diganti bagi menjamin keselamatan penumpang dan pekerja operasi perkhidmatan KTM dan bukannya soal kenaikan gaji dan lain-lain habuan.

Menurut Razak, tindakan membuang kerja itu tidak mustahil menyangkut kepada tokoh korporat Melayu A-Z Syed Mokhtar Al-Bukhary, tuan punya KTM ketika ini.

Jika benar, maka tidak pasti apakah matlamat di sebalik tindakan itu. Mungkin ia sebagai langkah mengurangkan kos operasi sebagaimana langkah Khazanah Nasional mahu menamatkan 20,000 pekerja MAS menerusi pelan pemulihan baru mereka. Pada hemat pengurusan/pemilik KTM, penglibatan sesetengah pekerja berpiket pada 9 Mei lalu adalah alasan terbaik membuang mereka.

Tentu sekali, sebagaimana dinyatakan Abdul Razak dan Subramaniam serta mungkin ramai yang lain akan mengambil tindakan undang-undang. Sementara kes tersebut didengar di mahkamah, umum menjadi lebih maklum keadaan KTM yang sebenarnya iaitu ia merupakan sebuah lagi kisah kegagalan klasik skim kerajaan yang diterajui oleh para kroni Umno-BN.

Tiada ulasan: