"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muktamar Pas: Panas dan penting, adakah PAS akan pecah dua?

SHAH ALAM: Pentas Muktamar Pas ke-60 yang bakal membuka tirai pada minggu hadapan dijangka panas dengan beberapa isu berbangkit kebelakangan ini.

Pemerhati politik berpendapat isu jawatan Menteri Besar Selangor dan masa depan Pas dalam PR antara topik perbincangan muktamar yang berlangsung di Johor itu.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berkata, setiap kali muktamar berlangsung, isu hubungan Pas dengan PR tetap akan dibangkitkan.

"Dalam muktamar kali ini, isu ulama profesional akan timbul kembali, kemudian isu Selangor ini...isu wala’ kepada presiden, dan juga isu masa depan Pas dalam PR.

"Tiap-tiap kali muktamar akan timbul isu sama iaitu tentang hubungan dengan PR, isu kepimpinan ulama dengan profesional dan juga isu wala’ itu tadi. Setiap kali itu juga akan ditegaskan bahawa Pas akan bersama PR," katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau turut menjangkakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal ‘ditegur’ perwakilan berhubung isu di Selangor namun tetap menghormatinya.

"Walaupun akan berlaku teguran-teguran terhadap presiden, tapi ia tak akan bawa perubahan yang besar kerana kita tahu orang Pas ini walaupun marah-marah tapi sikap hormat pada presiden juga tidak akan melebihi para ulama ini memang dalam DNA orang Pas.

"Tapi kalau nak dikata presiden akan ditegur dalam isu Selangor, saya rasa itu memang dijangka. Sudah tentu muktamar kali ini akan panas tapi panas-panas ia pun tak bawa perubahan apa-apa," katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir turut senada menjangkakan isu krisis di Selangor bakal menjadi topik utama di pentas Muktamar Pas nanti.

Malah katanya, pentas muktamar ini akan dijadikan medan untuk pimpinan Pas menjelaskan kepada seluruh perwakilannya berhubung alasan bagi setiap tindakan yang telah diambil.

"Sudah pasti isu Menteri Besar di Selangor ini akan dibincangkan. Saya fikir mereka akan menjelaskan mengapa pendirian itu diambil oleh Pas.

"Pada masa sama untuk menangkis hujah-hujah atau tuduhan yang telah dilemparkan oleh parti komponen PR.

"Dalam usaha bukan saja untuk menjernihkan kedudukan parti tapi juga lontaran kenyataan yang ditujukan kepada Presiden Pas," katanya.

Dalam pada itu beliau menyifatkan pertemuan Pas kali ini begitu penting dalam meyakinkan lagi ahli-ahlinya tentang hala tuju parti itu.

"Setiap muktamar ada isu sendiri. Tidak boleh kita kata pertemuan kali ini paling hangat sebab sebelum ini pun ada isu-isu hangat dibincangkan.

"Tapi boleh dikatakan pertemuan kali ini penting untuk yakinkan lagi kepada ahli Pas tentang hala tuju Pas lebih-lebih lagi wujud gejala pertikaian keputusan dan kenyataan Presiden Pas," katanya.
 -SH  

Tiada ulasan: