"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada perang dalam Umno?

Mohsin Abdullah
Ada yang menyamakan siri penangkapan dan pendakwaan hasutan yang berlangsung sekarang dengan Ops Lalang 1987. Setuju atau tidak terpulang. (Bagi yang kurang arif tentang Ops Lalang harap google).

Masa Operasi Lalang ramai yang kaitkannya dengan pergolakan dalaman Umno ketika itu. Walaupun itu tidak pernah dibuktikan, ramai yang membuat kesimpulan "bila orang Umno berperang orang lain akan menerima padah". Betul atau tidak, itulah persepsinya. Itu cerita lama.

Cerita baru ialah penggunaan Akta Hasutan terhadap pemimpin pembangkang dan ahli akademik. Adakah ini kerana Umno sedang berperang? (Jika "teori" 1987 menjadi sandaran).

Mungkin tidak adil untuk menuduh demikian. Buat masa ini. Kerana yang harus ditanya terlebih dulu ialah adakah Umno sedang berperang? Tidak ada tanda jelas yang menunjukkan ke arah itu.

Yang ada, "sekadar" teguran terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak. Semua sudah maklum apa yang diperkatakan Dr Mahathir. Tidak perlu huraian. Bagi orang Umno itu tidak boleh diklasifikasikan sebagai "perang" atau "pergolakan" dalaman. Setuju. Tetapi yang jelas, Umno tidak berkongsi pendapat dengan Dr Mahathir berhubung tuduhan terhadap presiden mereka. Yang menarik ialah cara mereka menyatakan pendirian.

Contoh: “Tun (Dr Mahathir) sepatutnya menegur 'in private' - bukan membuat kritikan terbuka. Jumpalah Najib dan bincang," kata beberapa ‘panglima’ Umno.

Kata seorang lagi ‘panglima’:”Cara Najib sesuai dengan zaman ini, era Najib.”

Dan bagi seorang pemimpin tertinggi parti, Najib ‘dengar dan bincang dalam Kabinet sebelum mengambil keputusan dan menggubal dasar’. Najib katanya lagi ‘bukan diktator’.

Mengapa soal ‘diktator’ diketengahkan tidaklah diketahui. Pun begitu bagi golongan yang tidak meminati Umno, parti itu tidak berani menyangkal Dr Mahathir secara terbuka ketika mempertahankan presiden mereka. Sebaliknya memilih untuk 'cakap bunga-bunga '.

Hanya Tun Musa Hitam yang berterus terang menjawab tuduhan Dr Mahathir. Tidak perlu huraian juga kerana semua sudah maklum apa yang Musa kata. Dan tidaklah memeranjatkan. Kerana pada 1980-an ketika memegang jawatan timbalan presiden Umno, Musa mahu orang Melayu mempunyai ‘sikap kurang ajar’.

Yang dimaksudkan ialah cakap berterus terang. Call a spade a spade. Kerana orang Melayu katanya amat suka bercakap ‘bunga-bunga’ dan berlapik. Namun musuh dalam Umno memutarbelitkan kenyataan itu dan menuduh Musa sebagai pemimpin Melayu menganjurkan budaya biadap, sesuatu yang bertentangan dengan budaya Melayu.

Walau apa pun cara Umno menunjukan reaksi terhadap kritikan Dr Mahathir ke atas Najib, bekas presiden Umno itu nampaknya ‘keseorangan’. Tetapi ketika membuat teguran dalam blognya, Dr Mahathir menyatakan pendapat beliau mengenai prestasi Najib ialah juga ‘pendapat ramai yang datang menemui saya’.

Maknanya bolehlah disimpulkan "ramai termasuk orang Umno datang mengadu hal" kepada Dr Mahathir dan ramai yang bersetuju dengan kritikan beliau tetapi tidak secara terbuka.

Persoalan yang kerap diajukan ialah adakah langkah Dr Mahathir akan mendapat "traction?" Baru-baru ini seperti yang kita tahu, lebih 100 ketua bahagian Umno dikumpulkan untuk satu majlis khas bersama Najib. Adakah perhimpunan itu bagi menunjukkan kesetiaan terhadap presiden parti dan menyatakan sokongan?

"Lebih kurang macam itulah," kata sumber dalaman Umno.

Bagaimanapun, katanya, Najib tidak sentuh pun isu yang dibangkit Tun (Dr Mahathir). Cakap benda lain. Patut jawab one by one.

Kini ada pihak dalam Umno yang bertanya mengapa Dr Mahathir buat apa yang beliau buat terhadap Najib. Maka timbul tuduhan dan andaian.

Rasanya ramai sudah dengar apa tuduhan dan andaian itu. Jadi tidak perlu diulangi di sini.

Yang perlu ditanya (oleh Umno) ialah bukan mengapa Dr Mahathir kritik tetapi tanya benar atau tidak apa yang Dr Mahathir kata. Fakta atau fitnah? Dan ambil langkah susulan berdasarkan jawapan yang diperolehi.

Berbalik kepada penangkapan dan pertuduhan mengikut Akta Hasutan yang rancak kini. Bagi PSM itu semua bagi Najib ‘membuktikan’ kepada Dr Mahathir beliau juga ‘garang’, bukan ‘lemah’ seperti yang digambarkan. Bagi orang Umno bukan itu sebabnya. Waullahualam.
-malaysiainsider-

Tiada ulasan: