"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ekonomi Malaysia gawat: A.Kadir Jasin nasihatkan Najib berterus terang sebelum rakyat marah

Berterus terang sebelum rakyat marah - A.Kadir Jasin
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk A Kadir Jasin mahu menasihatkan kerajaan agar berterus-terang kepada rakyat mengenai realiti ekonomi negara pada masa ini.


Kadir berkata, kerajaan perlu berterus terang kepada rakyat tentang situasai ekonomi negara sebelum mereka marah apabila keadaan menjadi parah.

Katanya, kerajaan perlu berkongsi maklumat secara rasional dan terbuka dengan rakyat bukan berdolak-dalik dengan berita-berita baik yang sengaja diada-adakan.

"Lebih baik membuatkan mereka kurang gembira dengan menyatakan kebenaran daripada membuatkan mereka marah apabila malapetaka ekonomi melanda mereka.

"Yang utama sekarang adalah berkongsi maklumat secara rasional dan terbuka dengan rakyat jelata. Bukan berdolak-dalik dengan mereka apatah lagi memesongkan mereka dengan berita-berita baik yang sengaja diada-adakan.

"Terus teranglah dengan mereka. Jangan sekali-kali anggap mereka bangang, bodoh, dungu, tongong dan bahlul." katanya dalam tulisan dalam blognya yang bertajuk 'Isu Kepimpinan: Cakap Benar Mengenai Ekonomi' hari ini.

Tokoh wartawan kebangsaan itu berkata banyak fakta dan ramalan ekonomi yang menjurus ke arah keadaan yang sukar dan mencabar apabila ekonomi Eropah diramalkan menguncup tahun depan.

Katanya, kadar tukaran ringgit pada 1 Disember jatuh paling banyak dalam sehari sejak Krisis Kewangan Asia 1997-98, kepada RM3.4320 bagi AS$1.

Kadir turut memetik akhbar The Star pada 3 Disember yang menyiarkan analisis pendapatan suku ketiga tahun ini (Julai-September) bagi syarikat-syarikat Bursa Malaysia.

Pada 4 Disember, akhbar yang sama menyiarkan analisis prestasi mata wang ringgit. Ia mendapati ringgit jatuh berbanding kebanyakan mata wang rakan perdagangan utama kita.

Ringgit jatuh 5.61% berbanding dolar Amerika, 5.58% berbanding dolar Hong Kong, 3.93% berbanding Baht, 2.93% berbanding Rupee, 2.44% berbanding dolar Taiwan dan 0.95% berbanding dolar Singapura. Duit kita naik berbanding Yen (9.40%), Euro (5.91%), dolar Australia (4.32%), pound Inggeris (2.31%) dan Rupiah (0.73%).

"The Star juga meramalkan yang kelembapan eksport mungkin mengakibatkan Malaysia mengalami defisit kembar (twin deficit), iaitu defisit akaun semasa dan defisit perdagangan.

"Ia memetik ketua ahli ekonomi AllianceDBS (bank), Manokaran Mottain.

"Sama ada ekonomi kita akan mengalami krisis atau tidak tahun hadapan, satu hal. Itulah yang sedang diramalkan oleh pembangkang pusat," tulis Kadir.

Kadir berkata kenyataan gabenor Bank Negara, Zeti Aktar Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Zafrul Aziz dan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid sangat mengelirukan.

"Soalnya, bolehkah kita percayai dakwaan bahawa fundamental ekonomi kita kukuh apabila bukan saja harga komoditi utama kita jatuh malah kadar tukaran mata wang kita pun jatuh juga?

"Harga saham dan jumlah dagangan di Bursa Malaysia semakin menurun. Prestasi syarikat yang disenaraikan dengannya lebih banyak yang negatif daripada positif. Boleh kata majoriti melaporkan penurunan keuntungan," katanya.
-Astro-

Tiada ulasan: