SEREMBAN: Sekurang-kurangnya 10 keluarga saudara baru sekitar Seremban melahirkan rasa kesal dengan pentadbiran Unit Ukhuwah di Pusat Dakwah Islamiah Paroi yang mereka sifatkan sebagai lemah.
Mereka mendakwa Unit Ukhuwah di Pusat Dakwah Islamiah tersebut tidak proaktif dalam membantu menyelesaikan masalah kewangan mereka.
Bercakap kepada Free Malaysia Today pada sidang media, aktivis mualaf, Mohd Suhib Mohan Abdullah, 49, berkata, unit itu tidak dapat memberikan bantuan segera ketika keadaan amat mendesak.
Jelasnya, kebelakangan ini pentadbiran unit semakin tidak proaktif dan terlalu terikat dengan kerenah birokrasi sehingga tidak cekap.
“Permasalahan utama yang sering dihadapi oleh golongan mualaf ini ialah apabila memohon bantuan kewangan. Mereka yang datang memohon bantuan segera atau kecemasan adalah mereka yang menghadapi masalah kewangan yang tenat sekali.
“Malangnya ada masanya pemohon terpaksa menunggu dari pagi hingga ke petang dan adakalanya kena datang lagi pada esok hari, untuk mengetahui status kelulusan permohonan mereka,” keluhnya.
Mohd Suhib memberitahu, antara masalah yang dihadapinya ialah ketiadaan kakitangan pada waktu bertugas dengan pelbagai alsan seperti cuti dan berkursus.
“Jika ada pegawai bercuti atau berkursus, sepatutnya tempatkanlah pegawai lain untuk memproses permohonan bantuan kecemasan itu. Sikap Unit Ukhuwah yang tidak proaktif ini benar-benar menyulitkan golongan mualaf yang datang memohon bantuan kecemasan,” kata beliau.
Pesakit Jantung, Jamaludin Abdullah, 61, mendakwa kebanyakkan golongan saudara baru bukan sahaja menghadapi masalah kewangan tetapi juga tekanan mental.
“Kebanyakkan dari kami telah dipulaukan oleh keluarga kami selepas kami memeluk agama Islam. Keluarga dah buang. Sanak-saudara sudah tidak melayan lagi. Kami tidak ada pilihan melainkan memohon bantuan daripada Unit Ukhuwah di Pusat Dakwah Islamiah Paroi,” jelas beliau.
Beliau menambah: “Jika Unit Ukhuwah dan Pusat Dakwah tidak buat sesuatu untuk tolong kami, siapa lagi nak tolong?”
-fmt-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan