"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hak Pertahankan Diri Tidak Bermakna Anda Boleh Bunuh Seseorang? Macam mana kes Tan Sri tembak mati perompak ni?


Hak Pertahankan Diri Tidak Bermakna Anda Boleh Bunuh Seseorang
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya meneliti peruntukan undang-undang dibawah Seksyen 99 Kanun Keseksaan bagi memahami hak untuk mempertahankan diri sebelum membuat sebarang andaian, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata demikian bagi mengulas siasatan berhubung keputusan untuk mendakwa seorang lelaki yang membunuh perompak ketika cuba mempertahankan dirinya di Terengganu.

Pertuduhan itu mencetuskan kemarahan di kalangan netizen.

Khalid juga mempertikaikan peranan Majlis Peguam dan peguam hak asasi manusia kerana tidak mendidik orang ramai mengenainya.

"Jika seseorang merompak kita, itu tidak bermakna kita boleh membunuhnya.
"Seksyen 99 Kanun Keseksaan menyatakan dengan jelas had untuk mempertahankan diri, bukan hanya kepada orang ramai tetapi kepada kita juga (polis).

"Apabila ia melibatkan perkara lain, Majlis Peguam pantas mengeluarkan kenyataan tetapi mengapa senyap mengenai perkara ini?

"Disinilah Majlis Peguam memainkan peranan dalam mendidik orang ramai," katanya di Bukit Aman pada Khamis.

Khalid berkata hak untuk mempertahankan diri tidak meliputi melakukan lebih banyak kemudaratan berbanding yang sepatutnya.

Baru-baru ini, netizen marah apabila berita mengenai seorang lelaki yang dikenali sebagai Zulkifli yang didakwa bakal menghadapi hukuman gantung sampai mati selepas menikam seorang perompak yang memecah masuk ke dalam rumahnya di Kerteh, Terengganu, tersebar di media sosial.

Menurut laporan itu, pemuda itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 kerana sengaja mendatangkan kecederaan dengan senjata berbahaya atau cara lain.-mstar


-------------

Polis tembak mati empat lelaki disyaki perompak

Polis menembak mati empat lelaki awal pagi ini yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga rompakan bersenjata dilaporkan di Bintulu, bulan lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata insiden itu berlaku dalam pukul 1 pagi semasa tiga pasukan D9 sedang menjalankan rondaan mencegah jenayah di Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu, kira-kira 600 kilometer dari sini, berikutan beberapa rompakan yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata semasa rondaan, pasukan itu ternampak empat lelaki yangberkelakuan mencurigakan dalam sebuah kereta Toyota Vios dan sejurus mereka menyedari kehadiran polis, pemandu kereta itu memecut ke arah Miri.

"Kereta itu kemudian membelok ke dalam ladang kelapa sawit, Ladang Maskat di Km42 Jalan Bintulu-Miri. Pasukan polis terus mengejar kereta itu sehingga ia terbabas ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan di Kuching, Sarawak hari ini.

Beliau berkata apabila pihak polis menghampiri kenderaan itu, polis mendengar beberapa tembakan dipercayai daripada selaras senapang patah daripada kereta itu, dan polis membalas tembakan ke arah kereta suspek.

Kejar suspek

Muhammad Sabtu berkata beberapa anggota polis mengejar suspek apabila melihat dua lelaki keluar daripada kereta dan bergegas ke ladang kelapa sawit tetapi apabila mereka hampir tiba di ladang itu mereka berpusing balik dan cuba menyerang anggota polis.

"Seorang daripada mereka melibas sebilah parang dan seorang lagi sebilah sabit. Polis menembak mati mereka untuk mempertahankan diri. Pemeriksaan taktikal polis selepas itu mendapati kesemua empat lelaki itu mati selepas polis melepaskan tembakan.

Seorang suspek rebah di kerusi pemandu, suspek kedua ditemui di tempat duduk penumpang dengan senapang patah di sisi tubuhnya. Dua lagi suspek berada tidak jauh daripada kereta dengan parang dan sabit di sisi tubuh masing-masing," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan memecah rumah, sebilah parang dan beberapa jam tangan dipercayai daripada rompakan awal manakala Toyota Vios yang digunakan mereka dilaporkan hilang di Bintulu pada Julai 2015.

"Tiada dokumen pengenalan dijumpai pada suspek, yang disyaki terlibat dalam tiga rompakan bersenjata di Bintulu pada 25 Dis, dan terakhir pada 29 Disember," katanya.

Muhammad Sabtu juga berkata kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam beberapa kes di Miri dan Sibu tahun lepas.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak atas kejayaan pasukan D9 yang telah berada di Bintulu sejak sebulan lepas untuk mengumpul maklumat risikan dan menjejaki kumpulan itu.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya mengucapkan syabas atas kejayaan itu.
-Bernama-

Tiada ulasan: