"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja belajar teknik berbohong diculik dari siapa? - Mufti Perlis

Dr Asri
SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin menimbulkan persoalan disebalik kisah penipuan remaja Nur Amirah Atirah, 14, yang mendakwa dirinya diculik baru-baru ini.


Asri mempersoalkan bagaimana seorang anak gadis semuda itu boleh menipu dengan mudah sehingga mengemparkan negara buat seketika.

"Seorang remaja 14 tahun dilaporkan telah berbohong bahawa dia telah diculik padahal itu perancangannya dengan teman lelakinya. Dia dikatakan hanya ingin mengelirukan ibu bapanya. Rakaman suara dia diculik telah menjadi viral dan menarik simpati ramai pihak. Perasaan takut, bimbang dan simpati mengiringi cerita tipu itu.

"Teknik berbohong dan menipu untuk mengelirukan pihak lain nampaknya telah dikuasai oleh rakyat semuda itu. Siapakah yang mengajar teknik pembohongan dan penipuan sebegini," katanya menerusi posting terbaharu di Facebooknya hari ini.

Asri berkata demikian bagi mengulas kes Nur Amirah yang didakwa diculik baru-baru ini dan kisah ini menjadi viral di media sosial.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman mikro Twitter miliknya berharap, orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis.

Sebelum ini, Polis Selangor menubuhkan satu pasukan khas untuk menjejak Nur Amirah yang didakwa dilarikan suspek menaiki van putih.

Bagaimanapun, Nur Amirah dilapor ditemui selamat bersama teman lelakinya di Banting sekitar jam 10 malam tadi.

----

Kes Nur Amirah: MyWatch mahu tindakan tegas diambil
culik Amirah
culik Amirah Remaja perempuan berusia 14 tahun yang disyaki diculik. - Foto Facebook
SHAH ALAM – Remaja hilang yang kononnya diculik, Nur Amirah Athirah Abdul Majid perlu dikenakan tindakan tegas kerana melakukan dakwaan palsu berhubung kehilangannya.

Pengerusi kumpulan pemerhati jenayah MyWatch, Datuk Seri Sanjeevan R berkata, tindakan yang dilakukan remaja terbabit bukan sahaja menyusahkan ibu bapa tetapi turut menyusahkan pihak polis dan orang awam yang ramai bersimpati mengenai keselamatan dirinya.

“MyWatch mengutuk sekerasnya tindakan remaja 14 tahun, Nur Amirah yang mereka cerita dengan mendakwa dirinya diculik supaya beliau dapat keluar bersama teman lelakinya.

“Mywatch menggesa tindakan tegas dikenakan kepada remaja ini di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Teman lelaki remaja ini juga harus didakwa kerana bersubahat dalam kes penipuan ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Nur Amirah yang hilang sejak Ahad lepas ditemui selamat bersama teman lelakinya di dalam sebuah kereta di Banting, Selangor oleh pasukan polis jam 8 malam tadi.

Menurut Sanjeevam, pihaknya percaya sekiranya tiada tindakan tegas diambil, kes seperti ini akan berulang pada masa akan datang.

“Ini bukan kes yang pertama kalinya berlaku. Sebelum ini pada hujung tahun 2014, seorang pelajar Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang turut bertindak mereka cerita kononnya diculik oleh tiga lelaki di hadapan rumah sewanya di Pasir Gudang hanya kerana mahu melepaskan diri setelah gagal menghantar tugasan yang diberi pensyarah.

“Bagaimanapun, MyWatch memuji risikan berkesan pihak polis yang berjaya menjejaki remaja ini dan teman lelakinya. MyWatch turut menghargai rasa simpati dan ambil berat masyarakat dalam kes jenayah ini,” katanya lagi.
-sinar

Tiada ulasan: