Blogger yang memomokkan kritikan terhadap dana pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menunjukkan syarikat itu memang benar sedang menghadapi masalah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, sambil menambah serangan yang dibuat terhadapnya bersifat politik.
Beliau tidak menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas beberapa sebab termasuk mewujudkan 1MDB kerana wang pinjaman tidak boleh dianggap satu kekayaan.
“Saya penyokong Umno. Saya masih ahli Umno. Tetapi, saya percaya siapa pun buat apa-apa pun kesalahan, perlu ditegur, termasuk Umno. Bagaimanapun, saya terang-terang mengatakan saya tidak sokong Najib. Satu daripada banyak sebabnya ialah, saya tak sokong penubuhan 1MDB,,” katanya.
Dr Mahathir menyertai Umno semula apabila Najib mengambil alih pucuk pimpinan parti pada 2009 daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah menjadi presiden selepas Dr Mahathir turun pada 2003, dan berundur selepas dikritik hebat perdana menteri paling lama berkhidmat itu.
“Wang yang dipinjam tidak boleh dianggap kekayaan. Dan ada banyak perkara tentang wang 1MDB yang sememangnya salah. Kerajaan tidak sepatutnya terlibat dalam membeli dan menjual saham untuk membuat duit bagi dirinya sendiri.
“Saya tidak setuju dengan 1MDB dan akan terus mengkritiknya serta apa saja yang saya rasakan bahaya untuk urus tadbir yang baik negara ini,” tulis pemimpin veteran itu.
Dr Mahathir memberitahu blogger yang menyerang pemilik The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong di Internet, menuduhnya mempertaruhkan ringgit ialah kerana media miliknya itu mengkritik 1MDB.
Seorang blogger yang menggunakan nama ahrily90 yang memulakan serangan terhadap Tong, juga memomokkan Dr Mahathir dan adik Najib yang merupakan seorang eksekutif bank, Datuk Seri Nazir Razak kerana mereka mengkritik 1MDB.
“Tindakan memomokkan itu bersifat politik. Tujuannya hendak menggugat kredibiliti saya. Tetapi saya akan terus bertanya, mana wang yang dikatakan dibawa pulang dari Pulau Cayman itu? Kenapa perlu pinjam wang untuk bayar hutang sekiranya anda ada RM8 bilion?” soal Dr Mahathir, sambil menambah beliau ada banyak lagi soalan hingga semuanya terjawab.
1MDB bulan lepas berkata, ia menebus kembali lebih RM4 bilion dari pelaburannya di beberapa syarikat berlainan portfolio yang berdaftar di Pulau Cayman, tetapi tidak menyatakan sekiranya ia sudah dibawa pulang ke Malaysia.
“Saya syak, memandangkan mereka tidak boleh jawab soalan saya, mereka momokkan saya kerana bertanya. Apabila mereka lakukan sebegini, ia hanya menyumbang kepada syak yang 1MDB sedang dilanda masalah. Ini pandangan saya. Saya tidak bercakap bagi pihak sesiapa,” katanya.
Dalam tulisannya, Dr Mahathir juga berkata, beliau terkejut dengan laporan The Star mengatakan sesetengah blogger menyerang pengkritik 1MDB, kerana katanya, media arus perdana biasanya tidak akan melaporkan sesuatu yang negatif tentang pihak berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan