"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Habislah Najib?

Timmy Say
Minggu ini, Malaysia membuktikan kepada dunia mengapa sini digelar "Bolehland".Tiada apa yang "tidak boleh" di negara ini.

Pendeknya, peguam negara mengesahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima derma sebanyak AS$681 juta. Daripada jumlah itu, beliau "hanya" menggunakan AS$61 juta dan baki AS$620 juta dipulangkan kepada keluarga diraja Arab Saudi pada Ogos 2013.

Bagaimana AS$61 juta itu digunakan – bagi peguam negara – tidak penting. Yang penting ialah perdana menteri tidak terlibat dengan sebarang kesalahan jenayah. Tak kisahlah dunia percaya ke tidak. Tak penting juga kalau rakyat Malaysia merasa ada benda sangat tak kena. Yang diperlukan ialah keputusan peguam negara.

Bisinglah. Meroyanlah. Ulanglah. Kaitlah derma ini dengan duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Tapi, apa yang boleh dibuat?

Selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib menjadi ahli politik kedua yang terbukti hebat, sabar dan tenang mengharungi ombak serangan sebegini. Jangan lupa ini bukan pengalaman pertama Najib menghadapi serangan berjela-jela.

Ingatkah kes Altantuya yang satu dunia rasa adalah titik penamat kepada kareer politik Najib yang ketika itu menjawat jawatan timbalan perdana menteri? Namun tidak, Najib maju setapak dan menjawat jawatan perdana menteri sehingga hari ini.

Hari ini, ramai juga merasakan kareer politik Najib suda habis. Ramai juga yang merasakan persepsi buruk ke atasnya tidak dapat dipulihkan. Betulkah prediksi sebegitu?

Lihatlah 3 contoh individu hari ini – bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat pengumuman untuk membersihkan Najib, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan keputusan terhadap siasatan derma ini akan berbeza jika Gani tidak ditukar.

Sejak pemecatannya, persepsi terhadap Gani berubah sama sekali kerana pembangkang mengambil kesempatan terhadap insiden itu untuk memukul Najib.

Betulkah rekod Gani lebih baik daripada Apandi? Lihatlah rekod-rekod kes yang dikendalikan Gani dulu sehingga kini. Tepuk dada tanya selera.

Tapi oleh kerana ada pembangkang suka berimankan "musuh punya musuh is my best friend", maka Gani "dibersihkan" daripada segala persepsi buruknya yang lepas, termasuklah kes-kes yang melibatkan Anwar.

Gani kini diangkat seolah-olah Malaysia amat bertuah kerana pernah memiliki peguam negara sebegini. Tapi betulkah perkara ini?

Bagaimana pula dengan Rafidah? Ramai terpegun dengan kelantangan beliau hari ini menegur kepimpinan negara. Semalam beliau berkata negara dirosakkan kelemahan manusia, ketamakan manusia dalam beberapa kes.

Memang betul. Cuma apabila memori melayang kembali mengenang isu AP kereta, terasa pula alangkah baiknya kalau beliau dapat mendengar nasihat sendirinya lebih awal. Malangnya, benih yang tersemai satu waktu dulu kini sudah berakar menjadi pokok besar.

Nama Muhyiddin pula naik mendadak selepas dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri. Seperti Rafidah, kenyataan Muhyiddin sedap didengar selepas pemecatannya kerana senapangnya menghala kepada Najib.

Satu ketika dulu, Muhyiddin adalah ahli politik yang paling dicemuh sesetengah parti dan masyarakat kerana enggan menggelar dirinya sebagai "Malaysia first". Hari ini, beliau diangkat bukan kerana beliau menggelar dirinya "Malaysia first", tapi kerana beliau cuba melawan Najib.

Melihat contoh ketiga-tiga individu ini, sudah tentu Najib sedar beliau hanya memerlukan satu peluang ataupun satu individu yang lebih dibenci atau satu peristiwa untuk membersihkan segala persepsi buruk terhadapnya.

Ketiga-tiga individu ini dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka bukan kerana rakyat Malaysia bodoh. Ini kerana adanya budaya “the enemy of my enemy is my best friend” yang tersemat di dalam budaya politik hari ini.

Apabila Najib bertemu musuh yang diangkat sebagai musuh pembangkang yang baru, dan beliau mengambil peluang untuk bersama rakyat dan pembangkang menentang musuh terbaru tersebut, maka imej Najib akan pulih seperti sediakala.

Jangan lupa – ini "Bolehland"! Segalanya boleh berlaku walaupun anda rasa tidak logik, mustahil atau tidak munasabah. Akan tetapi, anda tidak boleh menolak kemungkinan apa yang tidak logik, mustahil dan tidak munasabah hanya berlaku di Malaysia.

Oleh itu, percayalah Najib tidak habis lagi. Malah berkemungkinan beliau akan memecahkan rekod Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai perdana menteri yang paling lama mentadbir negara.

Tiada ulasan: