"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes histeria SMKPC 2: Nampak lembaga hitam, berbulu dan berwajah hodoh

Tiga lagi sekolah diserang histeria
Keadaan SMKPC 2 kembali pulih selepas kejadian, Isnin lalu.
KOTA BHARU - Belum pun reda dengan kes histeria yang melibatkan lebih 50 pelajar termasuk guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 (SMKPC 2), di sini, minggu lalu , tiga lagi sekolah di daerah ini turut dilanda kes histeria yang melibatkan hampir 30 pelajar termasuk seorang guru.

Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 (SMKPC 1), Sekolah Menengah Kebangsaan Kemumin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 3.

Ketiga-tiga sekolah itu terletak tidak jauh antara satu sama lain, iaitu antara 2 hingga 5 kilometer.

Dikatakan kejadian terbabit berlaku sekitar jam 11 pagi selepas waktu rehat, dan ada pelajar di salah sebuah sekolah terlibat mendakwa ternampak kelibat lembaga hitam melintas selepas pergi ke tandas.

Menurut seorang pelajar tingkatan lima SMKPC 1, dalam kejadian kelmarin, hampir enam pelajar perempuan tingkatan satu dikatakan menjerit selepas ternampak ‘lembaga hitam'.

“Mereka juga ada kata lembaga itu berwajah hodoh dan berbulu dan mereka turut meracau-racau selepas melihat lintasan jelmaan itu.

“Saya juga pernah merasai pengalaman diserang histeria ketika tingkatan satu dan tiga di sekolah SMKPC 2, namun kini selepas bersekolah di SMKPC 1, gangguan itu beransur hilang,” katanya ditemui semalam.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Che Abdullah Mohamad berkata, walaupun serangan histeria itu berlaku di sekolah terbabit, ia masih terkawal.

“Memang kita akui ada beberapa kes terbaru melibatkan SMKPC 1, SMK Kemumin dan SMK Kubang Kerian 3, namun ia hanya melibatkan segelintir pelajar dan tidak seramai kes histeria di SMKPC 2 yang melibatkan lebih 50 orang.

“Tindakan pantas pihak sekolah termasuk pengetua mengasingkan pelajar yang terlibat dapat mengelak kejadian itu merebak kepada pelajar lain,” katanya dihubungi, semalam.

Che Abdullah berkata, kejadian itu mungkin berlaku disebabkan ada pelajar mengalami tekanan ekoran peperiksaan akan berlangsung sekitar Mei ini.

“Banyak faktor yang mendorong perlakuan terbabit di samping keadaan di rumah atau faktor sekeliling pelajar itu sendiri.

“Buat masa ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan kita harap kejadian seumpama ini tidak berulang dan pelajar dapat meneruskan sesi persekolahan dengan baik,” katanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan: