DALIA ISMAIL
Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kedah, Saheme Hashim meramalkan Umno-BN negeri itu akan kecundang sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 akan datang, ekoran krisis kepimpinan presiden Umno dan rampasan jawatan menteri besar Kedah.
Pengerusinya Saheme Hashim berkata, majoriti rakyat negeri itu menyatakan bantahan atas krisis berlaku.
"Jika tiada perubahan dikalangan ketua-ketua bahagian dan pucuk pimpinan Umno negeri, BN hanya akan peroleh undi popular di Kedah sekitar 30 peratus sahaja.
"Tinjauan GKCM mendapati kepincangan pentadbiran Najib dan krisis MB Kedah menjadi faktor penolak sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat membantah dan benci pada kebanyakan pemimpin Umno negeri dan pusat.
"Pengalaman kami mengadakan ceramah di setiap cawangan mendapati mereka marah dan benci pada Najib dan tidak suka dengan Ahmad Bashah.
'Untuk tarik penyokong terhadap Umno, Ahmad Bashah kini lebih tertumpu kepada memberikan sumbangan berbanding berada di padang bola kerana dia selalu kena 'boo'," ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Saheme Hashim (Gambar)
Saheme memaklumkan sehingga 19 April, sebanyak 26 cawangan Umno di Kedah telah mengusulkan undi tidak percaya kepada Presiden Umno.
Setakat hari ini Usul undi tidak percaya di negeri itu kepada Najib selaku Perdana Menteri membabitkan enam bahagian iaitu Jerlun (14 cawangan);Kubang Pasu (5);Pendang (3);Kuala Kedah (2); Merbuk (1) dan; Baling (1).
Mesyuarat Persidangan Ketua Cawangan Umno yang bermula sejak 18 Mac sehingga 1 Mei depan dijangka akan dapat mengumpulkan lebih banyak usul undi tidak percaya terhadap presiden parti di kalangan ketua-ketua cawangan.
"Kita jangka sebanyak 200 cawangan akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Najib sehingga semua cawangan selesai bersidang.
"Walaupun ia tidak dilihat sebagai boleh mempengaruh semua cawangan dalam 14 bahagian di negeri itu, kemungkinaan Umno-BN tidak dapat diterima oleh rakyat akan dibuktikan dalam pilihan raya umum.
" Bukan sahaja ia berkait dengan kepimpinan negeri dan pusat malah isu membabitkan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun menekan golongan pendapatan rendah seperti penoreh, pesawah, buruh dan nelayan di negeri ini.
"Mereka adalah 60 peratus daripada rakyat Kedah yang masih hidup di bawah garis kemiskinan dan miskin masih tidak meningkat sebaliknya semakin menurun.
"Tambah parah bila harga getah jatuh bawah paras RM2 dan musim kemarau yang panjang lebih tiga bulan. Tiada tindakan yang efektif daripada Umno-BN untuk membantu khususnya penoreh," ujarnya.
Mengulas berkaitan jumlah borang deklarasi yang telah diedarkan di negeri itu ujarnya, sejumlah 25,000 telah diedarkan dibawah GKCM.
"Setakat hari ini GKCM telah menerima 10,000 borang tandatangan manakala 90,000 lagi membabitkan usaha dilakukan parti politik dan NGO lain dijangka akan diterima sebelum 9 Mei ini.
"Pada 1 Mei Tun Mahathir akan mengadakan ceramahnya jadi kita jangkakan jumlah keseluruhan borang diedar akan meningkat mencapai sasaran untuk negeri Kedah sahaja sebanyak 100,000 borang di bawah gerakan Selamatkan Malaysia ini," terangnya yang dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong GKCM selepas 10 hari Mukhriz diturunkan dari jawatannya.
Kelab Penyokong GKCM bergabung dengan GKCM negeri sebagai gabungan akar umbi untuk mengerakkan usaha ke arah mencapai matlamat Selamatkan Malaysia membabitkan ahli Umno dan rakyat negeri itu yang menyokong kepimpinan Mukhriz dan mahukan Najib berundur.
Pada 3 Februari Datuk Seri Mukhriz Mahathir umum meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah dan pada hari sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.
Kemelut politik Kedah yang berlaku selama dua minggu itu bermula apabila 14 ketua-ketua bahagian Umno menyatakan pendirian mereka hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.
Perkara itu diumumkan Ahmad Bashah ketika itu Timbalan Perhubungan Umno Negeri dalam sidang media selepas perjumpaan tertutup kepimpinan Umno negeri pada 20 Januari lalu.
Dalam Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, BN Kedah kecundang setelah memperoleh hanya 14 kerusi parlimen berbanding parti pembangkang menang 22 kerusi yang mana Pas peroleh 16 kerusi; PKR (5) dan; DAP (1).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan