"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majikan nafi belasah, rakam gambar bogel pekerja

FMT Reporters 
take-videoPETALING JAYA: Majikan yang didakwa membelasah, mengurung dan melakukan serangan seksual ke atas pekerjanya hari ini tampil memberi penjelasan untuk membersihkan namanya.

Sin Chew Daily melaporkan lelaki bernama Nikkie Tan itu menerusi satu rakaman video yang dimuat naik ke Facebook menegaskan akan membuat laporan polis terhadap tiga wanita itu kerana memfitnahnya.

Menurutnya, beliau akan pergi ke balai polis hari ini untuk membantu siasatan dan membuat laporan polis kerana yakin polis dapat menegakkan keadilan buat dirinya.

Tegasnya, beliau mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk membuktikan dirinya tidak bersalah dan dakwaan bekas pekerjanya itu adalah penipuan semata-mata.

“Saya telah lakukan satu kesilapan besar iaitu mengambil awak (Nicole) bekerja dengan saya.

“Ketika itu, awak datang dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk temu duga dan mahu saya mengambil awak bekerja dengan segera kerana tiada tempat tinggal.

“Saya terus mengambil awak bekerja kerana kasihan dengan nasib awak. Ketika itu saya tidak tahu apa latar belakang awak. Rupa-rupanya awak sedang melarikan diri daripada along dan merayu bantuan saya,” katanya dalam rakaman video berbahasa Cina itu.

Bagaimanapun, beliau tidak sangka wanita itu sanggup berbohong sehingga menyebabkan beliau menjadi tajuk utama hampir semua akhbar dalam negara ini dan Internet hari ini.

Sehubungan itu, Nikkie mengingatkan bekas pekerjanya supaya tidak menuduh sembarangan dan pihak luar pula digesa tidak mudah mempercayai atau terpedaya dengan kata-kata sebelah pihak sahaja, termasuk Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.

Pada masa sama, beliau memohon maaf kepada keluarga dan tunangnya yang menjalankan perniagaan bersamanya kerana beliau kini dilabelkan sebagai penjahat dan seorang yang psikotik.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy dilaporkan sebagai berkata, polis sedang mengesan pasangan yang didakwa membelasah tiga pekerja mereka di sebuah asrama di Fortune Perdana, Kepong pada 8 Mei lalu.

“Polis menerima laporan daripada seorang wanita, pekerja suspek berusia 28 tahun pada 9 Mei lepas yang mendakwa dia dan dua wanita rakan sekerjanya dipukul majikan mereka menggunakan kayu sehingga cedera.

“Suspek turut didakwa bertindak kejam dengan merakamkan gambar bogel mangsa dipercayai untuk dieksploitasi,” katanya.

China Press memetik salah seorang mangsa yang tampil dalam sidang media Michael semalam sebagai berkata, ketika kejadian pada 8 Mei lalu majikan lelakinya membawa enam lelaki India dan Cina ke asrama mereka sebelum menuduh mereka mencuri RM18,000.

Selain membelasah dan membogelkan mereka, lelaki terbabit juga dikatakan menyulanya dengan batang logam sebelum mengambil gambar bogel mereka untuk memaksa mangsa mengaku mencuri wang syarikat.

Akhbar itu melaporkan, seorang daripada tiga pekerja itu dibebaskan selepas berjanji akan membayar duit yang “dicurinya”.

Dua lagi pekerja wanita terbabit yang dikurung selama 18 jam hanya dibebaskan selepas memindahkan RM1,000 ke akaun bank majikan, menandatangani perjanjian bayar hutang dan berjanji tidak akan membuat laporan polis.

Tiada ulasan: