"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Antara Dua Darjat: Bukan pemandu lori saja kena tendang

Al-Abror Mohd Yusuf
Apa gamaknya yang sempat difikirkan Nasrul Faiz Zulfahmi ketika dia diterajang dua tiga orang yang setakat ini belum dapat kita kenali?

Mungkin dia tertanya-tanya mengapa dia dipukul. Mungkin juga dia terfikir bahawa ajalnya sedang menjenguk. Atau ada kemungkinan juga dia tidak sempat berfikir apa-apa.

Entah apa yang bermain di fikirannya ketika dia melangkah keluar memulakan hari kerjanya pada hari kejadian.

Sebagai pemandu lori, Nasrul sepatutnya faham benar makna berhati-hati dan mengelak kemalangan. Dia juga tentu tahu bahawa mencari masalah dengan kenderaan mewah adalah antara perkara terakhir yang perlu dibuatnya. Lainlah kalau dia memang ada banyak duit lebih yang tidak dapat dibelanjakan.

Tetapi pada hari berkenaan dia terlanggar kereta mewah. Dia - seorang pemandu lori - kemudian dibelasah. Khabarnya pemilik kereta mewah itu orang bergelar. Maksudnya, orang "ada-ada".

"Mengapa orang sekarang semakin baran?" tanya seorang jurupulih bateri pesawat udara di Doha, Qatar. Dia terbaca berita dan menonton klip video Nasrul dipukul.

Isunya bukan semakin baran, tetapi kian berani mencabar undang-undang. Puncanya banyak.

Satu daripada asas sesebuah negara yang berjaya dan cemerlang ialah undang-undangnya didaulatkan. Setiap peraturan dilaksanakan tanpa melihat status pelakunya.

Kegagalan menguatkuasakan undang-undang hanya berlaku pada sesebuah negara gagal. Malaysia tentulah tidak mahu terperangkap dalam lubang sumpahan begitu.

Diulang sekali lagi: Asas sesebuah negara yang baik ialah kedaulatan undang-undang. Malaysia juga tentu faham hakikat ini. Jika tidak, masakan salah satu Rukun Negara yang termaktub ialah "Kedaulatan Undang-undang".

Jika anda terlupa, satu lagi rukun itu ialah "Kesopanan dan Kesusilaan".

Masalahnya sehari demi sehari pelaksanaan undang-undang itu dilihat tidak lebih daripada lelucon. Kesalahan kecil - misalnya - dikenakan hukuman yang berat atau tidak sepadan. Jenayah besar pula - pada ketika tertentu melibatkan orang besar - terlepas daripada hukuman.

Lebih malang, salah laku dan penyelewengan yang sangat besar kadang-kadang tidak diambil tindakan. Kedudukan "benar" dan "salah" seolah-olah boleh ditentukan oleh pengaruh, kabel, wang dan darjat.

Ini bukan soal politik (walaupun tidak ada salahnya kalau anda mahu berpendapat begitu).

Status sosial masyarakat dibezakan oleh keadaan yang tidak lagi terkawal. Ketika sesetengah orang diberi layanan - dan kedudukan - yang tinggi, sebahagian lagi terus terbiar bergelut dengan keadaan semasa.

Bagaimana 'terpinggir' ditafsir

Lihat saja bagaimana golongan 'terpinggir' itu ditafsir. Pengguna motosikal kecil dimusuhi atas nama pencemaran udara, kesesakan lalu lintas dan jenayah. Bayaran letak kereta di lokasi strategik dinaikkan seolah-olah esok Kuala Lumpur akan lumpuh jika semakin banyak kenderaan seperti Kancil, MyVi atau Proton Saga dibiarkan menggunakan jalan raya.

Harga pelbagai barang keperluan pula nampaknya 'murah sungguh'. Terima kasih atas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) itu.

Pada masa sama, pak-pak menteri kita lihat berkereta besar bercermin gelap ke sana sini. Kalau kita bernasib baik, dapat juga menumpang tengok mereka diiringi motosikal polis meluncur laju ketika rakyat berasak-asak dalam kesesakan jalan raya.

Kalau lebih bernasib baik, kita - rakyat marhaen ini - disaran menaiki bersesak-sesak saban hari menggunakan pengangkutan awam.

Ketika kebanyakan keluarga menghabiskan masa berkelah di lata-lata percuma, ada antara kita pula yang terbang ke luar negara bercuti sempena hujung tahun.

Penemuan wang berjuta-juta dalam rumah pula belum tentu menjadikan seseorang itu pesalah rasuah. Maklumlah, ini negara kaya lagi makmur. Selain sumber semula jadinya melimpah-ruah, hatta harta (sesetengah) rakyatnya juga bersepah-sepah.

Ia juga mengundang curiga kepada ahli politik.

Ketika ahli politik dan wakil rakyat biasanya melaung-laungkan perjuangan untuk membela rakyat - biasanya semasa di atas pentas dan ditemani mikrofon - perbuatan serta sifir diambil pula lebih menampakkan bagaimana mereka sebenarnya membela nafsu, kerusi dan kepentingan diri sendiri semata-mata.

Jika itu belum memadai, lihat saja bagaimana sesetengah mereka rela membodohkan diri sendiri di mata masyarakat demi keuntungan yang sedikit. Mendapat kontrak daripada kerajaan, misalnya.

Dalam keadaan begitu, tidak banyak yang layak dilakukan ke atas mereka kecuali dicarutkan saja.

Dalam keadaan begitu kita semua tertekan. Yang bergelar dan memiliki kenalan atau hubungan dengan orang yang berkuasa berasa sangat berkuasa pula.

Di sisi yang lain, rakyat mungkin berada di pihak yang benar. Tetapi masalahnya "kebenaran" itu selalu dikalahkan oleh pengaruh dan darjat.

Pada masa sama, keadilan dan undang-undang dilihat terus dimaknakan oleh kekuatan fizikal dan helaian wang ringgit.

Senario lebih buruk yang boleh terjadi nanti ialah, rakyat marhaen - yang berpihak kepada kebenaran tetapi selalu kalah - pula bangkit memberi makna keadilan mengikut tafsiran mereka sendiri.

Tiada ulasan: