"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kit Siang hulur salam perdamaian pada Hadi

FMT Reporters
GEORGE TOWN: Selepas perpisahan pahit antara DAP dan PAS akibat hudud 2 tahun lalu, Lim Kit Siang hari ini berkata beliau sanggup bergabung dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Lim yang juga ketua Parlimen DAP berkata mereka boleh bekerjasama sekali lagi jika presiden PAS itu sedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia.

“Jika presiden PAS bersedia untuk memuktamadkan perjanjian yang keutamaan teratas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ialah menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia dan negara gagal dan jahat, saya bersedia bekerjasama dengannya.

“Itu akan menjadi agenda negara bagi tempoh 5 hingga 10 tahun. Adakah Hadi sedia membuat komitmen itu,” kata Lim hari ini ketika melawat Bukit Gelugor di sini.

PAS memutuskan hubungannya dengan DAP selepas parti itu berulang kali menyerang hasrat Hadi untuk melaksanakan Kanun Keseksaan Syariah di Kelantan pada 2015. Berakhirnya hubungan 2 parti itu menyebabkan Pakatan Rakyat terkubur.

PKR dan DAP kemudian membentuk Pakatan Harapan, gabungan baharu bersama Amanah, parti dibentuk oleh bekas pemimpin progresif dalam PAS.

Pakatan Harapan kini bekerjasama dengan parti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menentang BN.

Lim yang juga ahli Parlimen Gelang Patah berkata beliau boleh bekerjasama dengan Dr Mahathir meskipun mereka terus tidak bersependapat dalam pelbagai persoalan politik.

“Tetapi kami boleh bersama dalam agenda lebih besar menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia dan negara yang gagal,” katanya.

Malam tadi di Ampang, Dr Mahathir dilaporkan berkata tamat sudah masa untuk PAS membuat keputusan sama ada hendak membentuk pakatan pilihan raya dengan pembangkang atau tidak.

Pengerusi PPBM itu berkata keputusan perlu dibuat tidak lama lagi kerana PPBM akan membuat keputusannya pada mesyuarat majlis tertinggi.

Beliau berkata jika boleh, mereka mahu semua 5 parti pembangkang berada dalam satu pakatan.

“Tetapi malangnya, PAS mempunyai pendiriannya sekali gus menyukarkan proses penyatuan,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan PPBM sebelum ini cuba meyakinkan PAS supaya menyertai pakatan pembangkang itu. Bagaimanapun, dialog antara kedua parti tidak dihadiri pemimpin paling tinggi PAS, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“PAS hanya diwakili Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden) dan Datuk Mustafa Ali (Pengarah PAS pilihan raya). Mereka tidak menolak tapi dalam masa yang sama tidak juga menerima.

“Jika PAS tak nak sertai pembangkang, PPBM akan berada dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Tiada ulasan: