"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri bawa ‘geng’ belasah suami

WARTAWAN SINAR HARIAN
Lokasi kejadian yang dipercayai berlakunya kejadian tetak berkenaan.

KLANG: Seorang suami cedera ditetak di kepala selepas diserang oleh 'geng' isterinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi kelmarin, wanita berusia 19 tahun itu bersama tiga ahli keluarganya serta 12 lelaki datang ke rumah mentuanya di Jalan Istana, dekat sini, bagi mengambil anaknya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, kejadian disedari seorang ahli keluarga mangsa yang menerima panggilan daripada jirannya mendakwa rumah mereka dimasuki orang sebelum terus bergegas pulang ke rumah.

Menurutnya, ketika tiba di rumah, didapati mangsa berusia 28 tahun yang merupakan suami kepada wanita tersebut ditemui dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri selepas cedera ditetak di kepala.

“Turut cedera adalah bapa mangsa, adik lelaki dan rakan mangsa yang berada di rumah tersebut.

“Akibat kecederaan tersebut, kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dengan ambulans dan kini dilaporkan stabil,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam insiden itu juga katanya, rumah mangsa dan barangan elektrik dirosakkan selain telefon bimbit serta wang tunai kira-kira RM4,000 turut dilarikan.

Katanya, kesemua mangsa dicederakan menggunakan batang besi, pengunci stereng, topi keledar dan parang.

Tambahnya, siasatan awal mendapati isteri mangsa datang untuk mengambil anak perempuannya berusia dua tahun yang dijaga suaminya.

"Sebelum ini, mangsa tinggal bersama isterinya di Kampung Subang sebelum berlaku perselisihan faham. Pada 9 Januari lalu, mangsa bersama anak perempuannya itu nekad keluar dari rumah dan tinggal di rumah keluarganya,” katanya.

Alzafny berkata, seramai tiga lelaki dan dua wanita termasuk isteri mangsa ditahan kira-kira jam 9 malam hari sama selepas tampil menyerah diri di balai polis.

“Semakan mendapati dua individu memiliki rekod jenayah lampau kerana bergaduh.

"Tiga lelaki itu telah direman enam hari, manakala dua wanita tersebut direman sehari bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: