"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki menyamar wanita didakwa tipu ibu ‘teman lelaki’ (Gambar)


Ayer Keroh – Seorang penganggur lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan cuba menipu ibu ‘teman lelakinya’ supaya menyerahkan wang tunai RM7,500, September tahun lalu.

Bagaimanapun, Cha Chee Meng, 34, dari Selandar, Jasin mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamar sebagai wanita India yang tidak wujud atas nama Nishalini hingga mendorong K Ariyanachi, 47, menyerahkan wang tunai RM7,500 secara berperingkat sebagai pembiayaan pembelajaran di United Kingdom.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Rambai Jaya, sekitar September tahun lalu.

Chee Meng didakwa mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 419 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob memohon mahkamah mengenakan jaminan RM6,000, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
-bharianonline

Tiada ulasan: