"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU14: Mahathir bertanding di Putrajaya?

Husam syor Mahathir lawan di Putrajaya

Pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai pilihan raya umum akan datang sebagai calon.

Dan kerusi yang diperuntukkan kepada pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ialah Putrajaya - kawasan yang dibangunkan sendiri olehnya semasa beliau menjadi perdana menteri.

Kata Husam, langlah berkenaan dianggap perlu kerana Dr Mahathir mampu menjadi simbol kepada Pakatan Harapan untuk "menggoncang" Putrajaya.

Mengenai calon perdana menteri pakatan pembangkang itu pula, Husam berkata, sesiapa pun boleh dilantik asalkan ia dipersetujui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Husam juga berpendapat, pembangkang juga tidak perlu terlalu rigid menamakan calon perdana menteri mereka.

"Putrajaya adalah kerusi Dr Mahathir. (Walaupun) beliau sudah berusia untuk bertanding, tapi kita mesti mempunyai simbol (dalam pilihan raya umum).

"Jika Dr Mahathir diizinkan bertanding di kerusi Putrajaya, ia akan menjadi simbol pembangkang untuk menggoncang Putrajaya (dan) saya fikir (masalah) selebihnya boleh diselesaikan," katanya di Ampang malam tadi.

Husam menjadi seorang daripada dua panel sesi dialog anjuaran AMANAH Titiwangsa dan Seputeh.

Seorang lagi panel ialah Dr Mahathir. Sesi berkenaan dikendalikan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Dr Maszlee Malek.

Husam berkata demikian bagi mengulas soalan Maszlee mengenai siapa tokoh bayangan ditawarkan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mengetuai kerajaan jika mereka berjaya mengetepikan penguasaan BN selepas pilihan raya umum akan datang.

Nak jaga Salor saja

Bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebelum ini mendakwa Dr Mahathir dan Lim Kit Siang bersepakat memilih Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.

Dakwa Tunku Abdul Aziz, mengikut "perjanjian rahsia" dibuat pada 3 Disember lalu Lim pula akan dilantik ke jawatan timbalan perdana menteri.

Mengulas lanjut mengenai pendedahan itu, Tunku Aziz berkata, kenyataan Lim sebelum ini yang menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisi dua jawatan itu hanyalah gimik politik.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata isu calon perdana menteri hanya akan menimbulkan masalah di kalangan pakatan pembangkang.

Kata Dr Mahathir ini kerana ramai yang mahu menjadi perdana menteri.

Oleh yang demikian, katanya, berkata apa yang menjadi keutamaan beliau kini adalah pakatan pembangkang itu memenangi pilihan raya umum.

"Menanglah dulu, lepas itu kita pilihlah. Sekarang ini kita ibarat menunggu ayam belum menetas.

"Saya sendiri tidak mahu sebut siapa (harus jadi perdana menteri). Lepas kita menang, kita sebutlah siapa," katanya.

Mengulas kesedian bertanding bagi kerusi parlimen Putrajaya, Dr Mahathir hanya memberi reaksi ketawa dan berkata sejauh mana beliau mampu bertahan.


"Berapa lama saya boleh bertahan...." katanya kepada Malaysiakini, apabila diberitahu bahawa beliau masih lagi mempunyai kekuatan menjadi ahli parlimen.

Begitu juga Husam yang menyatakan beliau selesa di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor serta tidak berhajat untuk 'menjaga' kerusi Parlimen Putrajaya.

"Saya Salor saja, nak jaga negeri sahaja, biarlah Tun (Mahathir) jaga negara ini," katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: