Seorang guru di Amerika Syarikat (AS) digantung tugas susulan penularan video yang menunjukkan dia menjerit ‘mati’ sambil ‘menembak’ Presiden baharu Donald Trump menggunakan pistol air.
Kejadian itu berlaku di dalam kelasnya apabila guru wanita terbabit, Payal Modi menembak imej Trump yang disiarkan pada papan tulis ketika Presiden tersebut menghadiri majlis angkat sumpah.
Malah Modi turut memuatnaik video berkenaan dalam laman perkongsian Instagram, menyebabkan pihak sekolah di Dallas, Texas mengambil tindakan tegas terhadapnya.
Berdasarkan rakaman tersebut, turut kedengaran suara ketawa melihat aksi Modi tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mereka merupakan pelajar kelas tersebut.
Susulan penyebaran video itu, ramai pengguna media sosial mendesak pihak sekolah agar memecat Modi atas tindakan kurang bijaknya itu.
Tetapi wanita tersebut masih menerima pembelaan terutamanya dalam kalangan guru yang menyifatkan aksi tersebut sebagai gurauan.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Daerah Dallas menerusi kenyataannya berkata, pihaknya sedia maklum tentang penyebaran video tersebut melibatkan seorang guru di Sekolah Tinggi W.H Adamson.
“Guru berkenaan telah digantung tugas dan siasatan tentang kes itu masih berjalan,” jelas kenyataan itu.
Ekoran kes itu, Modi memadamkan klip video tersebut bagi mengelakkan isu berkenaan berlanjutan.
-kualalumpurpost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan