"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib bakal didakwa, tidak akan ada rundingan - Tun Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Razak susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng ratusan juta dolar Amerika daripada dana 1MDB.

Versi dalam talian The Wall Street Journal (WSJ) semalam, melaporkan perdana menteri tidak akan membuat rundingan dengan Najib bagi mendapatkan kembali wang itu.

"Tidak akan ada rundingan," kata Dr Mahathir seperti dipetik dalam artikel itu, yang ditulis berasaskan wawancara melalui pautan video bagi The Wall Street Journal CEO Council di Tokyo.

Dr Mahathir berkata, siasatan penuh perlu disiapkan sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap Najib.

"Ketika ini kami dalam proses mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara yang beliau sembunyikan ketika berkuasa dulu," katanya.

Pada 2015, The Wall Street Journal melaporkan AS$681 juta dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Bagaimanapun, Najib dan 1MDB menafikan melakukan sebarang penyelewengan. Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disenarai hitam daripada meninggalkan negara ini.

Kes berkaitan 1MDB juga disiasat di beberapa negara.

Menurut laporan WSJ, Dr Mahathir menjangkakan menerajui pentadbiran negara selama satu atau dua tahun berikutan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), baru-baru ini.

Sebelum PRU-14 lalu, pemimpin berusia 92 tahun itu membayangkan akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas bekas timbalan perdana menteri itu dibebaskan dari penjara.

Anwar yang disabitkan kesalahan meliwat, dijangka dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh.

Dalam laporan WSJ itu, Dr Mahathir berkata, Anwar akan dibebaskan esok dan membayangkan Anwar mengetuai satu daripada parti yang menjadi gabungan dalam parti pemerintah sebelum menjadi perdana menteri.
-Bernama

Tiada ulasan: