"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis buru bekas pegawai tentera larikan RM2.6 juta


Polis memburu seorang bekas pegawai tentera darat berpangkat kapten kerana dipercayai melarikan wang tunai berjumlah RM2.6 juta daripada bilik kebal sebuah syarikat kawalan keselamatan di Jalan Indah, Taman Perindustrian Rawang, dekat Shah Alam kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Selangor ACP R. Supramaniam berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 38 tahun yang juga pengurus cawangan syarikat berkenaan mengurung tiga rakan sepejabatnya sebelum melarikan wang milik syarikat tersebut dengan menaiki sebuah motosikal.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek baru dua bulan bekerja di cawangan itu dan dia pada mulanya menggunakan alasan untuk bermalam di pejabat dua tingkat tersebut, dan pada masa sama terdapat dua pekerja lelaki lain sedang bertugas mengawal keselamatan premis berkenaan.

“Sekitar 12.30 tengah malam, suspek keluar minum dan sekembalinya ke pejabat, dia memanggil seorang rakannya untuk memeriksa bilik kebal di tingkat bawah kononnya dikatakan tidak berkunci. Apabila rakannya turun, suspek mengacukan senjata jenis ‘pump gun’ kepadanya dan mengurung lelaki itu dalam sebuah bilik berdekatan.

“Kemudian, dia memanggil seorang lagi rakan yang sedang tidur dengan alasan sama serta mengacukan senjata sama sebelum turut mengurungnya. Suspek turut menelefon ketua juruwang supaya datang ke pejabat atas alasan sama, bilik kebal tidak berkunci,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam semalam.

Menurut Supramaniam, setibanya ketua juruwang tersebut, suspek mengacukan ‘pump gun’ berkenaan dan turut mengurungnya bersama-sama dua rakan sekerja lain, namun tiada sebarang tembakan dilepaskan.

Beliau berkata penelitian ke atas kamera litar tertutup (CCTV) syarikat tersebut mendapati suspek melarikan wang berkenaan dalam dua karung besar yang diletakkan di bahagian depan dan belakang sebuah motosikal di hadapan premis berkenaan.

“Pihak kami sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai rakan sejenayah lain yang membantunya dalam kes samun tersebut. Suspek yang beralamat terakhir di Taman Muda Ampang, dekat Shah Alam dipercayai masih berada dalam negara,” katanya menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Supramaniam berkata siasatan lanjut mendapati suspek dibuang kerja daripada pasukan keselamatan tersebut pada 2011 kerana mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan dipercayai melakukan pelbagai kerja selepas itu.

Katanya ketiga-tiga rakan sekerja suspek berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun yang dikurung tidak mengalami sebarang kecederaan namun mereka ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan kerana dikhuatiri bersekongkol dengan suspek.

Sehubungan itu, Supramaniam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor G. Jegathiswaran di talian 010-9671818.
-Bernama

Tiada ulasan: