Khairil Ashraf
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan bertemu Sultan Sharafuddin Idris Shah esok bagi menentukan kedudukannya sebagai menteri besar Selangor, selepas namanya diumumkan sebagai menteri persekutuan hari ini.
Pegawai Komunikasi Strategik di Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong berkata pertemuan esok akan menentukan sama ada Azmin kekal sebagai menteri besar atau ke Putrajaya.
“Azmin akan bertemu perdana menteri secepat mungkin dan bertemu Sultan Selangor esok bagi menentukan kedudukan sama ada kekal menerajui Selangor atau membantu pentadbiran Putrajaya sebagai menteri hal ehwal ekonomi,” katanya kepada FMT.
Senarai menteri persekutuan baru yang diterima dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyebabkan kejutan apabila ia mengumumkan nama Azmin, 54, yang mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor 11 Mei lalu.
Penyokong Pakatan Harapan mengatakan kemenangan besar di Selangor pada pilihan raya baru-baru ini merupakan perakuan kepada prestasi Azmin sebagai menteri besar dari 2010.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah berkata Azmin perlu melepaskan jawatan menteri besar jika ingin membantu pentadbiran Dr Mahathir, yang memenangi pilihan raya dengan bergaya atas platform reformasi.
“Logiknya begitulah,” katanya, tetapi mengakui dia tidak tahu butiran perkembangan ini.
Exco Selangor Amiruddin Shaari ketika dihubungi tidak pasti langkah Azmin seterusnya, manakala Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar tidak mahu mengulas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan