FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang wartawan berpengalaman mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengabaikan media yang pernah memberi liputan mereka ketika menjadi pembangkang dan kini “menikmati” liputan dari stesen televisyen dan media besar lain yang pernah mengetepikan mereka.
Wartawan berpangkalan di Pulau Pinang itu yang berkhidmat dengan sebuah portal berita hampir 2 dekad menerusi Facebooknya membidas Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengabaikan wartawan bebas sekal pelantikannya sebagai menteri pertahanan dan mendakwa pasukan medianya mengamalkan pilih kasih.
“Mat Sabu mungkin seorang lelaki hebat dan semuanya, tetapi beliau mempunyai pasukan media teruk yang hanya mempelawa stesen penyiaran berkaitan kerajaan dan portal tertentu yang dianggap pro-Pakatan Harapan.
“Bagi saya, ini tidak profesional sama sekali,” tulisnya di Facebook malam tadi, sebelum dikeluarkan.
Katanya, ketika musim Hari Raya, beliau berharap dapat bertanya soalan berkaitan pertahanan kepada Mat Sabu, tetapi mendapati beliau tidak dipelawa ke rumah terbuka menteri itu, baru-baru ini.
“Baru dapat tahu mengenainya apabila saya menontonnya di televisyen. Saya amat kecewa kerana kerana saya ada soalan untuknya sebagai menteri pertahanan,” katanya sambil menambah beliau pernah memberi liputan kepadanya ketika ahli politik pembangkang lantang itu bergelut mendapatkan liputan media.
“Kini beliau ialah menteri, beliau mungkin lupa semua orang yang pernah memberinya liputan untuk membolehkan beliau berada di tempatnya hari ini.”
Beliau tidak mengecualikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kini timbalan perdana menteri mahupun suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mesra dengan media bebas pada majlis rumah terbuka Aidilfitri mereka di Pulau Pinang, di mana pengawal peribadi mereka menghalang wartawan menjalankan tugas mereka.
Katanya, 2 pemimpin PKR itu juga enggan menjawab soalan.
“Anwar membenarkan saya bertanya 1 soalan dan isterinya jawab ‘ditto’ (pernah dijawab sebelum ini) apabila saya tanya responsnya. Hanya 1 soalan! Bagaimana dengan wartawan lain?
“Sebelum beliau dipenjarakan, saya menghabiskan kebanyakan hujung minggu saya membuat liputan acara anjurannya.
“Tidak peduli anak perempuan mereka, Nurul Izzah yang dikatakan pembela kebebasan media.”
Wartawan lain dari 2 portal berita terkenal turut sependapat dengannya dan berkata, mereka turut diberikan pelbagai alasan ketika cuba mendapatkan reaksi menteri dan pemimpin PH mengenai dasar kerajaan.
Tetapi, aduan terbesar mereka ditujukan kepada Mat Sabu yang tidak lagi membalas mesej di WhatsApp “apatah lagi panggilan telefon kami”.
“Mat Sabu menjadi ikon media sosial selepas dilantik memegang jawatan kanan kerajaan. Tetapi ia tidak berkekalan, terima kasih kepada orang yang menguruskan hubungannya dengan media, khasnya dengan portal berita bebas terkemuka,” kata seorang wartawan yang memberi liputan banyak kepada Mat Sabu sepanjang tempoh berkempen pilihan raya umum 2 bulan lalu.
Seorang lagi wartawan berkata, semua mesej menerusi WhatsApp “hanya dibaca dan mempunyai tanda biru, tanpa sebarang jawapan”.
“Ada isu berkaitan pertahanan yang belum selesai untuk ditanya kepadanya. Malangnya, orang utama itu membisu.
“Kami tidak lagi berminat dengan rumah teresnya atau menjamu selera dengan tentera. Kami dalam bidang kewartawan serius.”
Ada aduan sama mengenai dasar media kerajaan baru dibangkitkan awal minggu ini, apabila Jabatan Perdana Menteri hanya membenarkan agensi berita Bernama, TV3 milik Media Prima dan stesen penyiaran kerajaan, Radio Televisyen Malaysia membuat liputan pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan taikun China, Jack Ma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan