"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amirudin angkat sumpah Menteri Besar Selangor

Teka-teki mengenai calon Menteri Besar Selangor kini terjawab setelah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari dipilih dan mengangkat sumpah bagi memegang jawatan itu di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang, sebentar tadi.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula jam 10.15 pagi.

Amiruddin yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan tiba di perkarangan Balai Rung Seri Istana Alam Shah sekitar jam 8.20 pagi bersama isterinya, Masdiana Muhamad.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul mengenai calon bagi jawatan itu selepas bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerima pelantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Selain Amirudin, antara nama lain yang turut disebut bagi menggantikan Mohamed Azmin sebelum ini ialah ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad dan ADUN Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badarudin.

Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji pagi ini turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan pembesar-pembesar negeri.

Terdahulu, Azmin berkesempatan untuk mengikuti Majlis Serah Kuasa Menteri Besar Selangor bersama Amirudin di Balai Mengadap Istana Alam Shah sekitar jam 9.30 pagi.

Azmin bersama isterinya, Shamsidar Taharin tiba di Istana Alam Shah sekitar jam 8 pagi mengikuti majlis berkenaan.

Dalam majlis itu, Amirudin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Antara kandungan Aku Janji tersebut adalah memihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam, memelihara institusi raja daripada dicaci serta diganggu, mematuhi arahan Tuanku Sultan.

Selain itu, Amirudin turut berikrar bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain, melaksanakan tugas dengan penuh intergriti serta tanggungjawab, mendahulukan rakyat, memastikan kemakmuran negeri itu pada tahap tertinggi, memelihara jawatan yang diamanahkan daripada dicemari tindakan menyalahi undang-undang dan memelihara perpaduan.
-malaysiakini

Tiada ulasan: