Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mendedahkan dirinya dikunjungi oleh wakil tertinggi daripada PAS, PKR dan BERSATU menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu dan ditawar menjadi calon.
Namun, katanya, semua tawaran itu, termasuk menjadi menteri kabinet, ditolaknya secara berhemah.
“Saya tolak elok-elok, saya kata saya tak sokong mana-mana parti. Lagipun bukan seorang ahli politik yang hebat dan bijak malah saya tak tahu pun cara berpolitik.
“Saya cuma nak jadi pejuang bawahan,” katanya yang dipetik oleh Sinar Harian dalam satu temu bual eksklusif di pejabatnya, di Putrajaya, semalam.
Mohd Shukri turut mendedahkan, wakil-wakil tertinggi parti itu juga menawarkan beliau jawatan menteri sekiranya menang di peringkat persekutuan.
“Saya kata bukan saja menteri, jawatan perdana menteri pun saya tak terima.
“Saya nak jadi neutral, tidak mahu bias, biar saya berjuang dengan cara sendiri,” katanya.
Akhbar itu juga memetik Mohd Shukri berkongsi kisah dua sahabat karib yang juga rakan seperjuangannya dalam perjuangan membanteras rasuah iaitu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.
Menurut Mohd Shukri, ketiga-tiga mereka berkawan baik sejak awal menyertai SPRM lagi dan tidak pernah berpecah.
“Kami tiga orang tak pernah berpecah dari dulu sampai sekarang.
Kami satu batch, ke mana pun bersama, pendek kata kami bertiga bersatu hati.
“Kami sentiasa nasihat menasihati dan berhubung antara satu sama lain untuk beri pandangan. Hati kami sama, kami sama-sama masuk (SPRM), sakit sama-sama, keluar sama-sama, malah kalau lepak pun bertiga juga,” katanya.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan