Dr M masih bincang calon menteri, timbalan baru dengan PH
Minderjeet Kaur and Robin Augustin
PETALING JAYA: Beberapa pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) berada dalam senarai akhir menteri dan timbalan menteri yang dijangka diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa kurang seminggu.
Sumber berkata, mereka yang terpilih mula menerima panggilan daripada perdana menteri sejak semalam.
Bagi yang lain, rundingan masih dijalankan antara perdana menteri dengan parti komponen terbabit, khasnya PKR dan DAP.
Bagi PKR, antara ahli Parlimen disenarai pendek ialah Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat), R Sivarasa (Sg Buloh), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Datuk Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak).
Sumber berkata, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu) dan Fuziah Salleh (Kuantan) turut berada dalam senarai itu, tetapi nama mereka digugurkan pada 11 pagi tadi.
“Rundingan masih berterusan,” kata sumber itu.
Bagi DAP pula, Teresa Kok (Seputeh) dan Chong Chieng Jen (Stampin) masih berada dalam senarai itu.
Bagaimanapun, beberpaa pemimpin DAP memberitahu FMT satu mesyuarat terakhir bagi membincangkan nama yang masih dalam proses dimuktamadkan ketika berita ini ditulis.
Sekurang-kurangnya 5 daripada 11 ahli Parlimen Amanah yang memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu, dijangka dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.
Bagi Sabah, Darell Leiking (Penampang) dan Azis Jamman (Sepanggar) juga masih berada dalam senarai itu.
Seorang sumber memberitahu FMT, setiap parti komponen PH menghantar banyak nama, tetapi Dr Mahathir menilai semula senarai nama itu.
Pada 21 Mei lalu, seramai 13 menteri persekutuan mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara.
Dr Mahathir dilaporkan berkata, Kabinetnya akan mempunyai 25 menteri.
Sejak itu, timbul pelbagai spekulasi di media mengenai calonnya, dengan ramai ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dikatakan akan berada dalam senarai itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan