"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes kontrak 60,000 periuk nasi berlogo Umno dan BN: Shahidan, dua yang lain diarah hadir ke mahkamah

Hafiz Yatim 
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan dua lagi pemimpin Umno Perlis diarahkan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Ogos untuk menjawab saman pelanggaran kontrak berhubung pembelian 60,000 periuk nasi.

Jika gagal, keputusan akan dibuat terhadap mereka.

Perintah itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas peguam mewakili Shahidan dan dua yang lain memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak mendapat arahan daripada anak guam mereka.

Peguam berkenaan juga memberitahu akan menarik diri jika gagal mendapat sebarang arahan daripada anak guam mereka pada minggu ini.

Ini menyebabkan Wan Ahmad Farid mengarahkan Shahidan bersama Anggota Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang juga setiausaha Umno Perlis dan bendahari Umno Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman hadir di mahkamah pada 17 Ogos.

Peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili pembekal periuk nasi, Florence Lee Jye Wen ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan perkara itu. Perbicaraan akan diteruskan pada bulan ini.

Terdahulu dilaporkan Lee menamakan Shahidan, bersama-sama Zahidi dan Rozabil selaku defendan dalam samannya di mana beliau mendakwa Umno Perlis memesan 60,000 periuk nasi bersaiz 1.8 liter yang berlogo Umno dan BN dengan singkatan DSSK yang merujuk kepada Shahidan.

Dalam kenyataan tuntutannya yang difailkan pada April tahun lalu, Lee mendakwa beliau pada mulanya didatangi wakil jualan yang mengatakan Umno Perlis berminat membeli periuk nasi dengan logo berkenaan.

Lee mereka bentuk logo berkenaan dan dilaporkan menunjukkan kepada setiausaha Shahidan pada Mei 2015.

Tiada ulasan: