"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Melaka serah polis siasat lelaki dakwa pemilik Malaysia

Kerajaan Melaka menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan seorang lelaki yang mengaku sebagai ‘tuan punya’ (pemilik) kerajaan Malaysia dan layak untuk menuntut jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong serta perdana menteri.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, berkata tindakan perlu diambil berhubung perkara itu sebagai langkah pencegahan agar ia tidak berlarutan sehingga boleh mencemarkan perlembagaan negara.

Menurutnya di Melaka memang ada beberapa kes yang melibatkan individu mendakwa diri mereka sebagai sultan atau kedudukan dalam negeri.

“Malaysia mempunyai kedaulatan undang-undang serta perlembagaan, ia wajib dipatuhi oleh semua.

"Saya serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan sisatan dan juga mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Masyarakat Majmuk anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), di Melaka hari ini.

Terdahulu, individu dikenali sebagai Ahmad Abdul Kadir Ismail, 47, dalam sidang media di Sungai Rambai mendakwa dia adalah ‘tuan punya’ kerajaan Malaysia dan layak menuntut jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong serta perdana menteri.

Ahmad Abdul Kadir mendakwa beliau adalah aset kepada negara, tuan punya kerajaan Malaysia atau Tanah Melayu, selain mendakwa memiliki banyak alat kebesaran seperti keris kerajaan Bukit Seguntang, lembing Parameswara dan beberapa alat kebesaran dari China.

Sementara itu dalam perkembangan lain Adly menyarankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencontohi usaha berterusan Perkim membantu saudara baru Islam dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan dan memahami ajaran agama dengan lebih mendalam.

Katanya ​​​​​​​peranan Perkim menganjurkan pelbagai program bersama masyarakat bukan Islam merupakan usaha memperkukuh ukhwah dalam masyarakat majmuk demi kesejahteraan bersama.

Justeru katanya peranan Perkim serta NGO amat penting untuk menyatu-padukan masyarakat tanpa mengira agama atau bangsa.

"Kita tidak mahu ada dalam pemikiran masyarakat Islam khususnya saudara baru kita bahawa mereka diasing atau dipinggirkan sedangkan Islam membawa rahmat kepada semua umat manusia," katanya.

Adly berkata Islam mengutamakan kasih sayang dan perdamaian berbanding permusuhan dan peperangan.

Malah katanya Islam meletakkan aspek kesamarataan kepada orang Islam atau bukan Islam dalam isu hak serta tanggungjawab.
-Bernama

Tiada ulasan: