"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kunyah makanan ini untuk berhenti merokok

Butterkicap

Ada pelbagai cara untuk anda berhenti atau kurangkan perasaan mahu merokok anda. Ada yang cadangkan anda bersenam, dapatkan hobi baru dan bermacam-macam lagi.
Namun begitu, cara yang paling berkesan adalah menggunakan makanan.

Di bawah, terdapat 7 jenis makanan yang diyakini dapat membantu anda, sama ada untuk kurangkan kekerapan anda merokok ataupun berhenti terus.

1. Bertih Jagung

Tahukah anda, bertih jagung merupakan makanan yang sesuai untuk anda ambil jika anda nak kurangkan keinginan merokok?
Ha, jangan ingat kalau nak berhenti merokok anda kena makan sayur dan salad sahaja!

Anda mesti tertanya-tanya kenapa bertih jagung? Jawapannya memang mudah dan menghairankan. Apabila anda nak berhenti merokok, akan timbul perasaan untuk makan. Bukannya anda lapar atau mengidam makanan tertentu. Anda cuma nak kunyah.

Oleh itu, bertih jagung merupakan snek paling sesuai untuk anda jadikan sebagai makanan kudapan. Kerangupan bertih jagung cukup untuk membuatkan anda tidak mencapai rokok. Meskipun begitu, pastikan bertih jagung yang anda makan tidak disalut dengan karamel mahupun mentega. Jika tidak, memang naiklah berat anda nanti!

2. Epal

Makanan seterusnya yang sesuai untuk anda ambil ialah buah-buahan. Dalam artikel ini, kami syorkan anda untuk makan epal.
Epal, baik yang merah mahupun hijau, mempunyai tekstur yang rangup seperti bertih jagung. Kerangupan ini sesuai untuk memenuhi keinginan anda untuk mengunyah sesuatu.


Namun begitu, takkanlah anda nak makan bertih jagung setiap hari, betul tak? Membosankan betul!

Selain itu, buah-buahan juga didapati membuatkan rasa dan bau rokok lebih kuat dan pahit. Pasti membuatkan anda tak teringin nak pegang walau sebatang rokok pun.

3. Yogurt

Menurut jurnal Kajian Tembakau & Nikotin yan diterbit pada tahun 2013, perokok lazimnya, kurang makan berbanding golongan bukan merokok. Ini kerana, nikotin mengurangkan selera makan anda.
Oleh itu, apabila anda berhenti merokok, anda akan cepat berasa lapar. Pastikan makanan yang anda ambil adalah sihat dan rendah kalori seperti yogurt. Namun begitu, jangan makan yogurt kosong. Tambahkan dengan buah-buahan dan kekacang untuk membuatkan anda lebih kenyang dan dapat bertahan lama.

Jika anda asyik makan makanan rendah kalori, anda akan merokok dengan lebih banyak iaitu 8% lebih tinggi berbanding golongan yang makan makanan berhenti merokok berkalori tinggi. Hal ini dinyatakan dalam satu kajian yang diterbit pada tahun 2005 dalam jurnal Psychopharmacology.

4. Coklat hitam

Kalau anda peminat coklat hitam, melihat bahan ini dalam senarai artikel ini pasti menggembirakan hati anda. Bagi yang tidak tahu, coklat hitam sebenarnya kaya dengan pelbagai nutrien yang baik untuk badan anda seperti antioksida dan flavoid.
Antioksida dikenali sebagai ejen yang membantu melawan radikal bebas dalam badan yang boleh menjadi barah. Flavoid pula merupakan metabolit tumbuhan yang menghasilkan antioksida.

Pasti anda terfikir, bagaimana kedua-dua bahan ini dapat membantu anda berhenti atau mengurangkan kekerapan merokok anda? Apabila anda merokok, kadar nikotin dalam badan yang tinggi akan membuatkan dopamin merembes keluar. Dopamin merupakan komponen kimia yang membuatkan anda berasa gembira.

Coklat hitam merupakan ejen rembesan dopamin semula jadi dan memberikan kesan yang sama seperti anda merokok. Daripada merokok, lebih baik anda makan coklat, betul tak?

5. Asam

Buah kering seperti asam merupakan makanan yang sesuai untuk membantu mengurangkan kekerapan merokok. Memandangkan anda akan cepat berasa lapar selepas berhenti merokok, kunyah sesuatu yang sihat dan mengenyangkan. Daripada makan makanan yang tidak sihat dan berlemak, buah-buahan kering ialah pilihan yang lebihtepat kerana kaya dengan vitamin, mineral dan protein penting untuk badan anda.
Makan segenggam buah-buahan kering 2 atau 3 kali sehari dan perut anda kekal kenyang sambil pastikan mulut anda kekal sibuk.

6. Oat

Jika anda nak sesuatu yang lebih mengenyangkan dan masih berazam untuk berhenti merokok atau mengurangkan kekerapan merokok, oat merupakan pilihan terbaik.
Oat terbukti sebagai makanan penahan keinginan merokok berdasarkan kajian yang dijalankan oleh ahli sains dari Scotland. Mereka membahagikan perokok kepada 2 kelompok dan salah satu daripada kelompok tersebut diarahkan untuk jadikan oat sebagai snek mereka.

Selepas sebulan, kelompok yang makan oat didapati merokok 1/3 daripada jumlah rokok yang dihisap oleh kelompok kedua. Perkara yang lebih menarik adalah walaupun anda berhenti makan oat, anda akan masih dapat menahan diri daripada mencapai rokok. Hal ini dibuktikan apabila beberapa orang perokok dalam kajian tersebut terus berhenti merokok meskipun sudah dua bulan mereka tidak masukkan oat dalam diet mereka.

Memang sesuatu yang cukup menaikkan semangat, bukan?

7. Keju

Bahan makanan terakhir dalam artikel ini untuk membantu anda berhenti merokok ialah keju. Bagi peminat keju dalam kalangan perokok, semestinya melihat bahan ini menerbitkan perasaan gembira dalam hati anda.
Baguslah begitu kerana anda perlukan motivasi untuk berhenti, bukan?

Keju merupakan bahan makanan yang baik kerana 2 perkara. Perkara pertama ialah keju menjadikan rasa dan bau rokok busuk. Hal ini akan membuatkan anda tidak ‘berselera’ untuk merokok. Perkara kedua ialah keju membantu untuk menghapuskan sisa nikotin dalam badan anda yang membuatkan anda gian untuk merokok. Dalam erti kata lain, anda boleh melihat keju sebagai pembersih nikotin semula jadi.

Artikel ini pernah diterbitkan di dalam www.butterkicap.com

Tiada ulasan: