"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru dipenjara 80 tahun kerana rogol, cabul, liwat pelajar

Bernama

SANDAKAN: Seorang guru disiplin sekolah rendah di Beluran dijatuhi hukuman penjara 80 tahun dan 20 sebatan atas 14 pertuduhan rogol, cabul serta liwat terhadap 8 murid perempuan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ummu Kalthom Abd Samad menjatuhi hukuman itu terhadap Freddie @ Ampat Unsin, 56, hari ini.

Bagi 2 pertuduhan merogol muridnya berumur 9 tahun pada November 2015 dan 10 tahun pada Mac-Julai 2016 di sekolah tempat dia bekerja di Beluran, Freddie dijatuhi hukuman penjara masing-masing 15 dan 18 tahun serta diperintahkan supaya dikenakan masing-masing 3 serta 4 sebatan.

Ummu Kalthom memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh dia didakwa pada 27 Dis 2017.

Beliau turut memerintahkan supaya penjara 43 tahun dan 12 sebatan atas 11 pertuduhan cabul supaya berjalan berturutan selepas Freddie menjalani hukuman bagi 2 pertuduhan rogol itu.

Tiga daripada 11 pertuduhan cabul membabitkan hukuman penjara berjumlah 10 tahun dan 3 sebatan yang diperintahkan supaya berjalan serentak.

Tiga lagi pertuduhan cabul membabitkan jumlah hukuman penjara yang sama dan sebatan yang juga diperintahkan supaya berjalan serentak.

Freddie juga didapati bersalah atas 11 pertuduhan mencabul muridnya berumur 6 hingga 10 tahun di sekolah sama antara Januari dan Julai 2016.

Dia juga didapati bersalah meliwat seorang pelajar 10 tahun di sekolah sama antara Jun dan Julai 2016 dan dijatuhi hukuman penjara 4 tahun serta 1 sebatan yang akan dijalankan berturutan daripada kesalahan lain.

Ummu Kalthom berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana dia berkhidmat sebagai guru disiplin, bagaimanapun mengambil kesempatan dengan menjadikan kanak-kanak sebagainya mangsa dan mereka sepatutnya berasa selamat bawah penyeliaannya di sekolah itu.

“Keadaan kesalahan dalam kes ini menunjukkan terdapat tentangan daripada mangsa, tetapi disebabkan kedudukan tertuduh sebagai guru meletakkan mangsa dalam keadaan tidak berdaya,” katanya.

Ketika mengemukakan rayuan, peguam Hamida Ambo memohon hukuman ringan memandangkan ini kesalahan pertama anak guamnya dan dia juga berkahwin serta mempunyai 4 anak.

Perbicaraan bermula pada 19 Mac tahun lepas dan Freddie diperintahkan supaya membela diri pada 9 Mei tahun ini, dengan lebih 40 saksi memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Mark Etto mengendalikan pendakwaan kes.

Tiada ulasan: