"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas sudah tidak boleh lagi diharap tegakkan Islam, luah bekas pemimpin akar umbi di Kelantan

ZIKRI ABDULLAH
Sikap kasar dan keras pemimpin Pas terhadap Umno suatu waktu dahulu dan sekarang cuba menyelamatkan parti itu adalah penyebab pemimpin utama Pas cawangan Lundang meninggalkan parti itu dan kini menyertai AMANAH.

Guru agama Ustaz Wan Muhammad Wan Yusof berkata, pendekatan yang dibawa Pas sekarang seperti menjilat ludah sendiri apabila segala cemuhan dan tohmahan terhadap Umno dahulu dikutip untuk diamalkan oleh Pas pula.

“Memang benar saya bersama Pas dulu kerana yakin dengan keperibadian Tok Guru Nik Aziz.
Ustaz Wan Muhammad Wan Yusof

“Tetapi Pas hari ini, terus terang saya katakan sudah tidak boleh lagi diharap untuk menegakkan Islam dan lebih sedih parti itu kini dipenuhi pemimpin yang terikut-ikut kaedah Umno yang selama ini ditentang mereka sendiri,” dipetik dari akhbar Mingguan Amanah.

Beliau merupakan murid almarhum bekas Menteri Besar Kelantan ketika belajar di Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu.

Menurut Ustaz Wan Muhammad, walaupun sentiasa mengikuti perkembangan Pas ketika bertugas sebagai guru agama di sekolah kerajaan, beliau hanya bergerak aktif selepas bersara.

“Saya menyertai Pas secara rasmi bersama Datuk Hamid (bekas pengarah penerangan Kelantan) dan menubuhkan cawangan di Kampung Lundang.

“Dengan usaha gigih jawatankuasa dan penyokong di sini, Pas di daerah mengundi Lundang ini menjadi terkuat bagi Dun Bunut Payong dan Parlimen Kota Bharu,” jelasnya.

Menurutnya, kemuncak kejayaan Pas cawangan yang diketuainya apabila berjaya membina sebuah bangunan yang menempatkan surau dan kelas Pusat Asuhan Kanak-kanak Islam (Pasti).

“Sebenarnya saya sudah faham apa yang berlaku kepada Pas sehingga tertubuhnya AMANAH tetapi agak lewat bertindak meninggalkan Pas kerana mahu projek pembinaan surau dan Pasti itu siap sepenuhnya.

“Saya tahu projek itu akan tergendala jika saya bertindak awal sedangkan keperluan anak-anak Pasti amat mendesak kerana sebelum ini terpaksa menyewa di sebuah bangunan yang sempit dan sesak di belakang masjid,” ujarnya.

Mesti ditolak

Setelah selesai urusan kepentingan orang ramai dan pelajar Pasti katanya, beliau mengambil keputusan untuk mengisytiharkan diri keluar Pas dan kini menubuhkan cawangan AMANAH.

Sejak awal menyertai Pas menurutnya sebagai seorang yang memahami Islam, Umno mesti ditolak kerana meletakkan perjuangan bangsa mengatasi agama.

“Malah seperti selalu diterangkan pemimpin Pas sejak dahulu, Umno menggunakan ketaksuban bangsa untuk melakukan kezaliman termasuk kepada usaha menyebarkan Islam kepada masyarakat.

“Guru-guru agama dan guru-guru pondok semasa zaman Umno BN memerintah terus-menerus ditekan dan ditindas dengan pelbagai jenis peraturan malah ada guru pondok didakwa di mahkamah, semata-mata mengajar agama yang tidak sama selera dengan Umno ketika itu,” katanya.

Satu lagi masalah Pas adalah pembawaan takfiri yang menjadi alat kepada sebahagian pemimpin-pemimpin Pas sejak dahulu.

“Tindakan mengkafirkan orang Islam lain kerana perbezaaan politik memang amat saya tidak boleh terima walaupun saya memegang jawatan agak penting dalam parti itu.

“Semasa saya menjadi guru agama di sekolah kerajaan, ada kelompok Pas yang memandang serong dengan menganggap saya penyokong Umno dan terdapat di kalangan mereka yang melayan saya secara kasar dan menimbulkan masalah dari segi akidah.

“Walaupun saya tidak bertindakbalas secara agresif namun saya amat tidak setuju pembawaan jenis itu ada dalam Pas,” katanya.

Sebagai murid bekas Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau mengetahui pendirian Tok Guru dalam perkara ini amat jelas.

“Tok Guru Nik Aziz amat jelas menolak kaedah kafir mengkafir ini.

“Dia selalu pesan bahawa kerja kita sebagai pendakwah adalah untuk menarik bukan menghalau, menerang bukan menyerang orang lain.

“Sebab itu bila parti AMANAH memilih untuk meletakkan ‘Rahmatan Lil Alamin’ sebagai asas pergerakannya, saya sudah nampak parti ini akan mewarisi dan meneruskan apa yang pernah diamal dan diperjuangkan oleh Tok Guru Nik Aziz dahulu,” katanya lagi.

Tiada ulasan: