"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dibayar RM 5,000 untuk bakar kereta Mufti Perlis

Bernama

Polis telah memberkas seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam perbuatan membakar kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 22 Mac lepas.

Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohamad berkata suspek seorang penganggur berusia 36 tahun ditahan dirumahnya di Kampung Jelempok Arau pada kira-kira 2.45 pagi Sabtu oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perlis.

Beliau berkata hasil siasatan awal, suspek mengaku diupah RM500 oleh seorang individu untuk melakukan perbuatan khianat itu bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas yang dikenali sebagai Mie Tomoi.

Menurut Noor Mushar, polis telah mengenal pasti identiti tiga daripada lima suspek yang masih bebas dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat dan menambah bahawa pihak polis telah mendapatkan perintah reman terhadap suspek selama empat hari bermula semalam.

Katanya polis juga merampas telefon bimbit suspek yang turut mempunyai lima kesalahan lampau dan pernah menjalani hukuman sebanyak dua kali.

Noor Mushar berkata hasil siasatan lanjut suspek memberitahu polis bahawa beberapa hari sebelum kejadian itu beliau telah dibawa oleh Mie Tomoi berjumpa tiga lagi individu yang berniat untuk melakukan sesuatu terhadap mufti.

Katanya menurut suspek seorang daripada individu terbabit menawarkan upah yang lumayan dengan menyuruhnya dan Mie Tomoi menyimbah asid ke muka Mohd Asri tetapi tidak dipersetujui.

“Bagaimanapun hasil perbincangan lanjut Mie Tomoi dan suspek bersetuju untuk membakar kenderaan Mohd Asri dengan upah sebanyak RM5,000,” kata Moor Mushar.

Selang beberapa hari kemudian, Mie Tomoi telah ke rumah suspek dengan menaiki motosikal dan kemudian menaiki Proton Waja milik suspek menuju ke sebuah rumah di Titi Tok Bandar, Kangar,” katanya.

Menurut Noor Mushar, seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Dik E menyerahkan beg galas, jaket, botol plastik dan helmet dan mereka kemudian menuju ke sebuah stesen minyak di Kodiang, Kedah dengan menaiki motosikal milik Mie Tomoi untuk mengisi petrol ke botol plastik sebelum ke rumah mufti.

Beliau berkata setibanya di rumah mufti, Mie Tomoi menyimbah minyak petrol ke kereta mufti dan suspek menyalakan api selain mengetuk cermin belakang kereta menggunakan tukul.

“ Setelah selesai mereka terus meninggalkan tempat kejadian dan barangan yang mereka bawa telah dibakar, katanya lagi.

“Selang beberapa hari kemudian suspek berjumpa dengan seorang individu di sebuah kedai serbaneka di Kangar dan meminta bayaran sebanyak RM5,000 seperti yang dijanjikan, bagaimanapun individu itu hanya memberinya RM500,” tambahnya.

Pada 22 Mac lepas, kereta rasmi Mohd Asri musnah dibakar oleh dua lelaki yang dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran Mohd Asri.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, kereta jenis Honda Accord berwarna hitam terbakar di bahagian enjin serta tayar depan sebelah kiri manakala cermin belakang dan depan dipecahkan.
-Bernama

Tiada ulasan: