"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rosmah perlu isytihar perolehan hartanya

Bernama
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor perlu mengisytiharkan harta yang diperolehinya dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2017 selepas gagal mengetepikan notis pihak pendakwaan yang mewajibkannya berbuat demikian.

Dalam menolak permohonan Rosmah, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan berkata, beliau menerima hujahan pendakwaan mengikut Seksyen 48(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dari[pada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau berkata tujuan seksyen berkenaan adalah untuk membantu pendakwa dalam mengenal pasti harta milik seseorang yang disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram.

”Oleh itu, ia tidak akan memprejudiskan pihak pembelaan atau menyebabkan kebimbangan maklumat itu akan digunakan untuk menentangnya terhadap dakwaan yang dihadapinya.

“Hujahan pemohon bahawa beliau akan dihalang daripada hak perbicaraan yang adil adalah spekulatif,” katanya.

Hakim berkata notis pihak pendakwaan itu dalam proses siasatan tiada kaitan dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal membuat penyataan pendapatan yang dihadapi oleh Rosmah, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

”Saya juga bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa hak berdiam diri dan keistimewaan daripada menjawab notis itu, bukan hak dijamin Perlembagaan,” katanya.

Peguam Rosmah, Mohamed Reza Rahim memohon mahkamah menangguhkan keputusan kerana mereka akan memfailkan rayuan.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini memerintahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan rasmi.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala pasukan pembelaan terdiri daripada Mohamed Rez, Manjeet Singh Dhilion, N. Rajivan dan Datuk K. Kumaraendran.

Rosmah, 67, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Rosmah memfailkan notis pada 24 Feb lalu bagi mengetepikan notis pendakwaan tersebut.

Pada 4 Okt, 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) dan dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan/

Bagi tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Tiada ulasan: