"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Empat ‘sahabat sejati’ Najib ziarah lewat malam

ARIF ATAN

Pemimpin tertinggi Pas diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menziarahi Datuk Seri Najib Razak di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur lewat malam tadi.

Hal itu diberitahu Najib menerusi hantaran di Facebook beliau kira-kira jam 1 pagi tadi.

Najib yang pada siangnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ekoran jenayah melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) itu menyifatkan pemimpin Pas terbabit sebagai sahabat sejati.

Turut kelihatan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hasan dan Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Ketiga-tiga mereka masing-masing berjawatan menteri di Kementerian Alam Sekitar, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Saya ada tetamu lewat malam tadi. Tidak perlulah saya mengulas panjang. Sahabat sejati bukan sahaja mereka yang bersama ketika susah atau senang.

“Tetapi juga mereka yang sentiasa mendoakan kita. Sahabat yang sejati sukar ditemui. Jika di sisi, saya hargai dan saya tahu itulah anugerah Allah SWT,” kata Najib.

Abdul Hadi dan kumpulan yang melabelkan diri sebagai pro-ulama dalam Pas sebelum ini memang dilihat ‘sahabat sejati’ kepada Najib dan Barisan Nasional (BN) sebelum blok parti itu tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Hubungan mesra itu juga mengundang perpecahan Pas sehingga kumpulan pimpinan digelar pengacau, Erdogan dan Anwarinas tersingkir dalam pemilihan muktamar Pas 2015 bagi kepimpinan penggal 2015-2017.

Enam bulan selepas muktamar itu, Hadi buat kali pertama muncul sepentas dengan Najib berpakaian sedondon dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia di ibu negara.

Najib merasmikan multaqa itu manakala Hadi memberi ucaptama tentang pentingnya perpaduan dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik dalam konteks menangani konflik di Asia Barat.

Sekali lagi akhir tahun 2016, kedua-dua ‘sahabat sejati’ itu duduk sepentas dalam Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya serentak dengan Perhimpunan Agung Umno.

Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dilihat menjadi sorong tarik antara kedua-dua parti ‘sahabat’ itu terutama menjelang musim pilihan raya.

Kemuncak hasil persahabatan Umno-Pas atau Hadi-Najib ialah termeterainya Muafakat Nasional (MN) secara rasmi pada 14 September tahun lalu ketika Najib dan ramai lagi pemimpin Umno telah berdepan dengan pelbagai tuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Semalam, Najib didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya sehingga rayuan didengar dan diputuskan.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan mengenakan syarat bahawa jumlah jaminan sebelum ini ditambah lagi RM1 juta dengan dua penjamin dibayar hari ini.

Suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu juga diarahkan melapor diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan.

Tiada ulasan: