"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Buruan kes rasuah Indonesia yang bersembunyi di Malaysia ditangkap

Alyaa Alhadjri

Buruan kes rasuah dari Indonesia Djoko Tjandra dilaporkan ditangkap di Malaysia, menurut laporan berita memetik polis Indonesia.

Portal berita Detik.com memetik pengarah jabatan siasatan jenayah Listyo Sigit Prabowo sebagai mengesahkan penangkapan ahli perniagaan berusia 68 tahun yang dikehendaki berhubung sabitan kes rasuah pada 2009 berkaitan penyelewengan dana Bank Bali.

"Sedang bergerak ke Indonesia. Sedang berlepas dari Malaysia," kata Listyo memberitahu Detik.com dari Jakarta.

Secara berasingan, CNN Indonesia melaporkan anggota polis dan tentara Indonesia sedang bersiap sedia di Lapangan Terbang Halim Perdana Kusuma, Jakarta, menjangkakan ketibaan Djoko.

Ketika dihubungi, seorang anggota pasukan perundangan Djoko memberitahu Malaysiakini bahawa mereka hanya diberitahu mengenai statusnya melalui laporan berita malam ini.

Perincian mengenai penangkapannya di Malaysia setakat ini tidak jelas. Malaysiakini telah cuba menghubungi Bukit Aman untuk mendapatkan pengesahan.

"Kedudukannya secara tepat ada di Kuala Lumpur," kata Anita pada masa itu sebagai tetamu dalam rancangan perbincangan hal ehwal semasa Indonesia, Mata Najwa.

Bekas peguam negara Indonesia, HM Prasetyo sebelum ini mendedahkan peguam negara Malaysia ketika itu Apandi Ali pada tahun 2016 telah membuat permintaan peribadi kepadanya untuk mempertimbangkan supaya menggugurkan sabitan terhadap Djoko dan membiarkan hartawan itu kembali sebagai orang bebas.

Djoko pertama kali menjadi berita utama di Malaysia pada Mei 2015, ketika dia dikaitkan dengan pembangunan 1MDB dalam menara Signature Tower yang dirancang ketika itu di Tun Razak Exchange (TRX) melalui pemaju hartanah Indonesia Mulia Group dan anak syarikatnya.

Ini walaupun Interpol menyenaraikannya sebagai orang yang dicari pada masa itu kerana dilaporkan melarikan diri dari Indonesia sehari sebelum Mahkamah Agung republik itu menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan menjatuhkan denda 15 juta Rupiah (RM4,300) kepadanya.

Djoko telah hidup dalam pengasingan - pertama di Papua New Guinea dan kemudian Malaysia - tetapi kepulangannya ke Indonesia baru-baru ini yang tidak dikesan untuk memfailkan semakan di mahkamah telah mencetuskan kemarahan di republik itu.

Dia juga dilaporkan dikeluarkan kad pengenalan elektronik Indonesia baru manakala notis merah Interpolnya dibatalkan.

Pada hari Rabu dilaporkan bahawa cubaan Djoko untuk menyemak semula sabitan hukumannya ditolak oleh Mahkamah Jakarta Selatan awal minggu ini kerana dia gagal hadir untuk secara peribadi memfailkan rayuan seperti yang disyaratkan oleh undang-undang Indonesia.

Tiada ulasan: