"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Implikasi keputusan Mahkamah Agung dalam kes liwat

DR ZULQARNAIN LUKMAN

Kes Iki Putra bin Mubarrak v Kerajaan Negeri Selangor & Anor

1. Semalam ramai yang telah beri komen berkaitan kes di atas. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari menyatakan mana-mana negeri tidak boleh menggubal undang-undang yang dalam bidangkuasa Persekutuan. Dalam kes di atas, yang menjadi pertikaian adalah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang.

2. Kesan pertama dalam kes ini adalah bahawa negeri tidak boleh menggubal undang-undang berkaitan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii seperti kesalahan liwat atau ityan al bahimah.

3. Bagi saya yang lebih penting adalah untuk melihat keseluruhan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang menekankan peri penting hubungan Federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan.

4. Perkara 73 sehingga 95E menjelaskan hubungan antara Persekutuan dan Negeri. Peruntukan ini menetapkan bidang kuasa Persekutuan dan Negeri untuk membuat undang-undang. Jadual Kesembilan Perlembagaan telah menggariskan perkara-perkara yang dalam bidang kuasa Persekutuan dan Negeri serta bidang kuasa bersama.

5. Peruntukan ini juga menjelaskan bahawa jika berlaku pertentangan dalam mana-mana undang-undang yang dibuat maka undang-undang yang digubal oleh Persekutuan akan mengatasi undang-undang yang dibuat oleh negeri dan undang-undang negeri itu akan menjadi tidak sah setakat wujudnya pertentangan itu.

6. Selain itu, Perkara 76 menyatakan bahawa Persekutuan juga boleh membuat undang-undang bagi pihak negeri dalam Senarai Kedua, Jadual Kesembilan jika ianya bertujuan untuk mewujudkan keseragaman undang-undang seperti yang ada sekarang adalah Kanun Tanah Negara dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

7. Perkara 76A pula membolehkan Parlimen untuk membuat apa-apa undang-undang yang memberikan kuasa kepada Negeri untuk membuat undang-undang yang berada dalam bidang kuasa Persekutuan. Dahulu pernah timbul cadangan semasa kerajaan Kelantan ingin membuat undang-undang Qisas dan Hudud dengan menggunakan peruntukan ini bagi membolehkan kerajaan negeri membuat undang-undang berkaitan bidang kuasa hukuman jenayah Syariah.

8. Selain itu, ramai juga yang mencadangkan supaya pihak kerajaan negeri dan Persekutuan duduk bersama untuk selesaikan hal ini. Bagi saya tak perlu pun untuk selesaikan perkara yang dah selesai. Lebih baik untuk selesaikan perkara yang belum selesai seperti tunggakan kes di Mahkamah Syariah, pemerkasaan institusi wasiat, hibah, wakaf, baitulmal dan Majlis Agama Islam sendiri.

9. Bayangkan jika institusi ini dapat diletakkan benchmark yang tinggi dari segi integriti dan pengurusan kewangan. Bayangkan kalau ada institusi wakaf yang mempunyai aset berbilion ringgit pastinya itu akan menjadi contoh teladan yang baik kepada semua kaum termasuk kaum bukan Islam.

10. Selain itu jika kita tengok jawapan rasmi dalam DUN Selangor pun menyatakan bahawa antara tahun 2013 hingga 2016 tiada pun sesiapa didakwa di bawah kesalahan persetubuhan di luar tabii ini. Lagipun bukannya pesalah liwat ini tidak boleh didakwa, mereka masih boleh didakwa tetapi pendakwaan kena dibuat di Mahkamah Sivil. Butiran itu boleh diperolehi dalam web kerajaan (klik di sini)

11. Jadi bagi saya tiada apa orang Islam perlu sedih atau dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini. Apa yang penting adalah apakah pelan masa hadapan? Pastinya, patuhilah Perlembagaan Persekutuan dan tak payahlah kita berdemonstrasi atau berhimpun kat mana-mana padang tapi akhirnya tiada hasil pun kepada umat Islam sedangkan banyak lagi ruang untuk Islam berkembang yang kita masih belum optimakan.

Penulis adalah peguam yang benyak terlibat dalam kes Mahkamah Syariah dan sivil.

Tiada ulasan: