"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwa buku sejarah agungkan komunis - Maszlee sekolahkan Asyraf

Dr Maszlee Malik

Cerita hari ini, pagi-pagi lagi sudah kena fitnah.

Saya tengah sibuk menguruskan bantuan kepada anak-anak Simpang Renggam ketika ramai wartawan menghubungi saya, meminta pandangan balas kepada kenyataan Dr Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda Umno.

Saya sangat tidak suka bergaduh dan bertengkar apatah lagi mencari salah orang lain ketika sepatutnya ahli politik perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada membantu rakyat yang tengah sengsara sekarang ini.

Dr Asyraf Wajdi sepatutnya lebih sedar situasi sekarang. Apatah lagi, beliau ialah sebahagian daripada Kerajaan yang memerintah.

Jika beliau nak tahu lebih lanjut tentang isu kurikulum Sejarah ini pun, beliau sebenarnya boleh menghubungi KPM dan minta penjelasan sebelum mengeluarkan kenyataan.

Tetapi itu tidak berlaku.

Tidak mengapa. Saya akan terangkan satu persatu untuk memahamkan Dr Asyraf Wajdi apa sebenarnya proses penggubalan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Untuk menggubal kurikulum sesuatu subjek, ia memerlukan proses yang panjang dan ia telah dijadualkan secara teratur.

Untuk pengetahuan Dr Asyraf Wajdi, kurikulum Sejarah telah disemak semula pada tahun 2014 dan dilaksanakan pada tahun 2017 bermula dengan murid-murid tingkatan satu.

Ini bererti, kohort murid-murid tingkatan satu pada 2017 akan memasuki tingkatan empat pada tahun 2020.

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) ini sebenarnya telah diperkenalkan pada 2017 menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula dilaksanakan pada tahun 1989.

Kesimpulannya mudah, KSSM ini telah bermula pada tahun 2017, yang mana waktu itu Menteri Pendidikan adalah dari parti Umno.

Dr Asyraf Wajdi boleh bertanya sendiri kepada menteri waktu itu.

Proses penggubalan kurikulum sebenarnya mengambil masa beberapa tahun dan proses ini melibatkan panel pakar yang berpengalaman dalam subjek Sejarah.

Mereka terdiri daripada pakar sejarah terkenal dalam negara, pensyarah universiti, pensyarah Institut Pendidikan Guru, guru pakar dan guru-guru mata pelajaran sejarah.

Setiap kurikulum yang selesai digubal akan melalui proses ujian rintis di sekolah sebenar bagi memastikan kebolehlaksanaan kurikulum tersebut di samping mendapatkan pandangan guru-guru yang akan melaksanakan kurikulum tersebut.

Melalui ujian rintis tersebut, penambahbaikan akan dilakukan berdasarkan pandangan guru-guru.

Semua proses ini melibatkan beberapa fasa seperti pengkopsepsian kurikulum, pemetaan kurikulum, uji rintis & pelaksanaan Dokumen Standard Sekolah Rendah (DSKP) dan kursus penataran. Ini semua mengambil masa sekitar 3 hingga ke 5 tahun.

Amat mustahil untuk PH melakukan semua ini dalam masa setahun lebih memerintah.

Ini bermakna untuk buku teks yang dicetak pada 2019 dan digunakan pada tahun 2020, prosesnya bermula sejak 2014/2015 lagi.

Sekali lagi, saya nak beritahu kepada Dr Asyraf Wajdi, Menteri Pendidikan pada tahun 2015 adalah dari parti Umno. Boleh tanya beliau sendiri.

Saya juga ingin menarik perhatian Dr Asyraf Wajdi bahawa melalui KSSM yang dimulakan pada 2017, Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP) menetapkan kandungan KSSM Sejarah adalah berbentuk kronologi yang membincangkan perihal kehidupan masyarakat dan negara daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.

Seperti dinyatakan di dalam DSKP; “Peristiwa sejarah disusun secara kronologi supaya murid dapat memahami proses perkembangan masyarakat dan negara yang menumpukan kepada pemahaman yang menyeluruh tentang pembinaan negara bangsa Malaysia bermula dari Zaman Prasejarah hingga kini. Ilmu tersebut membolehkan murid membuat perbandingan peradaban yang dicapai oleh negara luar dengan negara kita...,”

Dr Asyraf Wajdi juga boleh meneliti sendiri senarai Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah & Buku Teks Sejarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Prof. Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof. Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof. Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr. Ho Hui Ling(UM); Prof. Sivamurugan Pandian (USM); Prof. Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof. Madya Bilcher Bala (UMS).

Adalah lebih tepat sebenarnya jika Dr Asyraf bertanya kepada pakar-pakar ini, daripada menuduh saya dan PH secara membuta tuli.

Kesemua pakar yang diletakkan penghargaan di muka depan buku teks ini adalah pakar Sejarah di negara ini, dan sebahagiannya dikenali memang rapat dan condong dengan parti Umno.

Saya juga kepilkan di sini surat dan dokumen bukti yang menjelaskan bahawa KSSM ini telah diputuskan pada 2017 lagi, proses-proses selepasnya hatta sehingga zaman saya menjadi Menteri Pendidikan pun, ialah prosedur biasa.

Konklusinya jelas, cetakan 2019 ialah hasil daripada keputusan 2017.

Jadi saya berpendapat tuduhan melulu Dr Asyraf Wajdi yang menyalahkan pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah komen kosong tanpa usul periksa.

Beliau menunjukkan sisi tidak mahir tentang proses dan tatacara penggubalan kurikulum oleh pihak KPM serta sebuah kecaman terhadap budaya kerja penjawat awam di KPM.

Untuk makluman Dr Asyraf Wajdi juga, selama 20 bulan ketika saya menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan, kerajaan PH memberikan kebebasan kepada profesional di dalam Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) KPM untuk meneruskan kelansungan pelaksanaan KSSM seperti yang dirancang melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2012-2025).

Langsung tidak ada campur tangan saya dan PH dalam proses ini walaupun saya tahu ada di kalangan Pakar Rujuk memang sangat cenderung kepada Umno.

Apa yang saya cuba lakukan dahulu adalah mengubah sistem pendidikan sedia ada secara besar-besaran dan menyelesaikan masalah-masalah yang sekian lama wujud seperti sekolah daif, murid cicir, pendidikan OKU dan banyak lagi.

Usaha ini dilaksanakan melalui penubuhan MPPK dan JKDPN yang hari ini terus terbantut.

Akhir kata saya ingin memberi nasihat kepada Dr Asyraf Wajdi supaya menyiasat, membuat usul periksa dan memahami proses dan tatacara gerak kerja penjawat awam dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan.

Takut nanti banyaknya tertembak kumpulan sendiri, luka dan jatuh kemudian menanam jasad sendiri.

Nota Tambahan:

Saya sedang berusaha membantu 500 anak-anak Simpang Renggam menyediakan kelengkapan mereka ke sekolah.

Saya mengalu-alukan bantuan ramai pihak untuk misi penting ini.

Tiada ulasan: