"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perang Bersatu-Umno meruncing: Faiz panggil Puad makhluk bukan mangkuk!

ARIF ATAN

Krisis antara Umno dengan parti serpihannya, Bersatu terus panas apabila ahli majlis tertinggi parti masing-masing berterusan berperang secara terbuka ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) makin hampir.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman hari ini menyelar Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang dianggapnya tidak puas hati dengan Muhyiddin Yassin.

Faiz mendakwa Puad kerap menyerang apa sahaja yang berkaitan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

Bahkan, dua kali Faiz memanggil “makhluk” merujuk kepada Puad yang dilihat mencerminkan kemarahannya terhadap bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu.

“Bukan PM (Perdana Menteri) saja, malah hampir semua elemen yang berkait kerajaan PN dan parti Bersatu dihentam secara terbuka sejak berbulan-bulan lalu oleh makhluk (bukan mangkuk) bernama Puad Zarkashi ini.

“Tuduhannya seringkali tanpa asas atau bukti hingga memaksa pihak PM tiada pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang.

“Jadi Puad, apa masalah peribadi kamu dengan Tan Sri Muhyiddin sebenarnya? PM tidak perlu buang masa untuk melayan makhluk seperti kamu ini berdebat kerana pemimpin negara kita itu sibuk dengan urusan rakyat yang lebih patut diberi perhatian,” berangnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Bersatu pada masa ini mempunyai 31 kerusi termasuk kumpulan Azmin Ali dari PKR yang mengkhianati kerajaan Pakatan Harapan (PH) genap setahun lalu menerusi Langkah Sheraton manakala Umno mempunyai 39 kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Faiz yang berkelulusan doktor perubatan itu mendakwa banyak pihak tahu sikap Puad yang kerap melemparkan tuduhan, ejekan, dan kata-kata nista terhadap Muhyiddin sejak tertubuhnya kerajaan PN.

“Terlihat watak yang kalah di tempat sendiri dalam PRU lalu itu bagaikan mempunyai dendam peribadi dengan Presiden parti kami (Bersatu).

“Lebih-lebih lagi setelah ‘Tuannya’ (bekas Presiden Umno yang juga Pengerusi BN) Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana korupsi kes terkait 1MDB.

“Dari situ Puad cuba mencipta persepsi seolah-olah Tan Sri Muhyiddin yang sengaja ‘mengenakan’ bekas Perdana Menteri kesayangannya tersebut,” tempelaknya.

Serangan Faiz itu selang dua hari selepas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan menganggap Faiz seolah-olah ada ‘assignment’ untuk mempersoal dan menyerang Umno secara terbuka.

Shahril berkata demikian selepas Faiz mendesak Umno untuk mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Akademi Umno dekat Janda Baik, Pahang pada 19 Februari lalu.

“Hairannya tidak pula Ketua Penerangan Umno saudara Shahril Hamdan menganggap Puad bagaikan ada ‘assignment’ khusus untuk menghentam PM kerajaan yang sedang disokong partinya sendiri,” bidas Faiz kembali.

Menjahanamkan perpaduan

Bernada lebih garang Faiz yang juga ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bahkan mengaitkan Puad sebagai individu yang menggagalkan perpaduan kuasa politik Melayu-Muslim-Bumiputera.

“Jika mahu lihat watak mana yang mahu menjahanamkan perpaduan kuasa politik Melayu-Muslim-Bumiputera yang membentuk kerajaan Malaysia hari ini, mustahil kalian tidak nampak perangai si Puad ini sejak dari awal lagi cukup ghairah ‘friendly fire’ kerajaan sendiri.

“Bayangkan jika ada ahli MPT Bersatu hentam Presiden Umno secara terbuka kerana beliau tandatangan akuan bersumpah (SD) menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar jadi PM ketika Covid-19 sedang mengganas, sudah tentu kami diherdik sebagai ejen pemecah belah pula.

“Puad perlu tahu pihak mana yang bersungguh-sungguh berulang-alik ke rumah Tan Sri Muhyiddin bagi memujuk Bersatu agar membentuk kerajaan PN.

“Tidak pula yang memujuk itu letak syarat mahu jawatan apa setelah kerajaan terbina kelak. Asalkan dapat tumbangkan kerajaan PH dan menghalang proksi DAP naik jadi PM, itu matlamat asalnya,” kata Faiz.

Sehubungan itu, dia dilihat mengungkit sikap beberapa pemimpin Umno mendendangkan cerita kononnya kerajaan PN tidak adil terhadap parti mereka.

Sejak awal lagi, Bersatu dan Umno ‘tidak sebulu’ dan dilihat saling mahu mendominasi.

Ekoran Perdana Menteri disandang Muhyiddin dari Bersatu, portfolio kementerian yang paling penting dikuasai parti bunga raya itu walaupun Umno mempunyai paling banyak kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Faiz menganggap akar umbi Umno yang rasional pun mampu menilai keikhlasan watak-watak warlords mereka yang sering membalun kerajaan sendiri.

“Jujurlah, saya nak tanya, tidak adil kepada Umno atau tidak memenuhi hasrat peribadi yang mendakwa itu?

“Jika kemaruk sangat nak berdebat biarlah dengan watak yang sama tahap. Rakyat lagi meluat jika kita semua gila berpolitik,” katanya yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur itu.

Tiada ulasan: