"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis ramal apa mungkin berlaku bila Parlimen bersidang

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik meramalkan sokongan majoriti pemerintah akan dicabar apabila Dewan Rakyat kembali bersidang, tetapi dua pakar lain menjangkakan usaha itu akan dapat dipatahkan.

Azmi Hassan, sebelum ini di Universiti Teknologi Malaysia, berkata persidangan itu akan beri peluang kepada pembangkang untuk membuktikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Inilah sebabnya mengapa pembangkang mendesak Parlimen bersidang semula, katanya kepada FMT.

Desakan itu digalakkan lagi baru-baru ini apabila dua Ahli Parlimen Umno – Nazri Aziz dan Ahmad Jazlan Yaakub – mengumumkan tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Azmi Hassan.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong berkata Parlimen boleh dibenarkan bersidang semasa darurat, yang akan berkuatkuasa sehingga Ogos.

Beberapa pemerhati menjangkakan Parlimen akan bersidang bulan depan.

Sekiranya Muhyiddin benar-benar hilang sokongan majoriti, Azmi percaya kemungkinan besar Agong akan melantik seorang perdana menteri sementara dan Jemaah Menteri sementara untuk berkhidmat semasa darurat.

“Saya rasa Agong, dengan kuasanya semasa darurat, boleh beri peluang kepada parti-parti politik untuk sementara waktu membentuk suatu gabungan pemerintah sebelum pilihan raya umum,” katanya, mengambil contoh peristiwa di Itali baru-baru ini.

Namun James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania percaya nasib PN terletak di tangan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, yang boleh membenarkan atau menghalang usul undi tidak percaya dibentangkan.


James Chin.

“Andai PN tiada majoriti ringkas pun, hal itu mesti diuji di Parlimen dan untuk itu suatu usul undi tidak percaya diperlukan,” katanya.

“Dalam sistem Malaysia, Speaker memihak kepada perdana menteri.”

Sekiranya Azhar tidak membenarkan usul undi tidak percaya, Nazri dan Jazlan boleh duduk di barisan tengah dan tidak bersama pembangkang.

Chin menjangkakan sidang Dewan Rakyat akan ditangguhkan sehingga selepas Mac, memandangkan tarikh persidangan kebiasaannya ditetapkan perdana menteri.

“Muhyiddin akan cuba sedaya upaya untuk menangguhkannya,” katanya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura meramalkan “tidak banyak” akan berlaku apabila Parlimen bersidang semula.

Oh Ei Sun.

Ini kerana pemerintah mengawal prosiding Parlimen dan dengan mudah boleh menyekat usul undi tidak percaya, seperti yang berlaku tahun lalu.

Namun, Agong boleh meminta Muhyiddin meletak jawatan sekiranya beliau tiada sokongan majoriti.

“Dalam demokrasi berparlimen ala Westminster tradisional, perdana menteri akan meletak jawatan secara terhormat atau mengadakan pilihan raya jika beliau merasakan Parlimen hilang kepercayaan terhadapnya,” katanya.

“Beliau bahkan tidak akan menunggu sehingga dikalahkan dalam undi tidak percaya.

“Tetapi jika langkah itu tidak berlaku, Agong boleh menjalankan tugas perlembagaan Westminsternya untuk menasihati atau mengingatkan perdana menteri agar segera mengambil tindakan yang betul dan terhormat,” katanya.

Sekiranya ini berlaku, kata Oh, kemungkinan perdana menteri baharu akan dilantik, bukan perdana menteri interim.

Tiada ulasan: