"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ronnie Liu: Kecondongan pendirian Pua, Ong kepada PM mencurigakan

Nora Mahpar

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming seharusnya sedar mereka adalah ahli pimpinan pusat DAP, bukan wakil rakyat biasa, kata Ronnie Liu.

PETALING JAYA: Tindakan dua pemimpin DAP yang condong kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika ini mencetuskan satu suasana yang bersifat tidak “semulajadi” dan sangat mencurigakan, kata seorang pemimpin kanan DAP pusat.

Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan Ronnie Liu berkata, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming seharusnya sedar mereka adalah ahli pimpinan pusat, bukan wakil rakyat biasa.

Katanya, kenyataan mereka menimbulkan kemarahan rakyat yang majoritinya ketika ini tidak gembira dengan kegagalan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), terutamanya dalam mengurus wabak Covid-19.

Menurut Liu, yang juga ADUN Sungai Pelek, tindakan mereka seolah-olah memberi talian hayat kepada Muhyiddin untuk terus berkuasa dan ini akan menyebabkan rakyat terus sengsara.

“Kenyataan mereka menimbulkan kecurigaan kerana dibuat selepas Pakatan Harapan (PH) membuat pendirian menolak tawaran Muhyiddin.

“Mereka perlu tarik balik, jika tidak, akan timbul tanggapan wujud ‘tangan ghaib’ di belakang mereka, ada sesuatu yang bersifat tidak ‘semulajadi’ dan tidak betul sedang berlaku,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Pua dan Ong dilaporkan meminta pihak pembangkang mempertimbangkan kerjasama rentas parti seperti dicadangkan oleh Muhyiddin yang kini berdepan tekanan untuk mempertahankan jawatannya sebagai perdana menteri.

Kenyataan mereka dibuat beberapa jam selepas Majlis Presiden PH sebulat suara menolak tawaran Presiden Bersatu itu.

Pua menyenaraikan tiga alasan, iaitu mengekang pergelutan politik yang “membunuh” sektor kesihatan dan ekonomi negara, selain berpotensi menghalang Ahli Parlimen Umno “kleptokrat” dilantik perdana menteri.

Tawaran Muhyiddin itu juga, katanya, boleh mengelak pilihan raya umum (PRU) diadakan ketika wabak Covid-19.

Ong pula mencadangkan pihak pembangkang duduk semeja dengan semua parti politik untuk membincangkan sama ada syarat itu boleh diterima atau tidak.

Dalam perutusan khas pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan tujuh tawaran kepada pembangkang, termasuk mengadakan PRU selewat-lewatnya Julai depan, peruntukan sama rata buat semua Ahli Parlimen dan melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi, jika mereka bersetuju menyokongnya dalam usul undi percaya di Parlimen bulan depan.

Mengulas lanjut, Liu turut mempertikaikan kenyataan Pua yang terus membuat andaian bahawa Yang di-Pertuan Agong akan melantik wakil Umno menjadi perdana menteri jika Muhyiddin dan kerajaan PN jatuh.

“Siapa cakap Agong akan lantik kleptokrat jika Muhyiddin letak jawatan? Macam mana beliau boleh buat kesimpulan mesti kleptokrat ambil alih?

“Beliau (Pua) cakap seolah-olah dalam kerajaan sekarang tiada kleptokrat. Kamu mahu tipu siapa?”

Liu turut hairan dengan tindakan Pua ketika ini yang sering menghentam Umno dan membuat kenyataan memihak kepada Muhyiddin.

“Beliau minta kita terima Muhyiddin, lepas itu hentam Umno bertubi-tubi. Umno bukan musuh politik kita sekarang, nampak beliau memihak kepada Muhyiddin sehingga timbul rasa curiga terhadapnya,” kata Liu.

Tiada ulasan: