LIMA KESAN MALANG JIKA ISMAIL SABRI TERMENJADI PERDANA MENTERI
Shahbudin Husin
Belum pun Mahiaddin Md Yasin menyerahkan surat perletakan jawatannya, usaha mencari penggantinya oleh kalangan dalam PN sendiri nampaknya sedang giat dilakukan.
Mahiaddin hanya akan menyerahkan surat perletakan jawatannya esok, Isnin 16 Ogos, tetapi pencarian pengganti itu sudah pun bermula sejak petang semalam lagi iaitu selepas Perdana Menteri memaklumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan.
Sehingga ini nama yang ingin ditonjolkan sebagai Perdana Menteri ialah Ismail Sabri yang sekarang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Tidak pasti banyak mana setakat ini sokongan yang telah diperolehinya dan tidak dipastikan juga sama ada Kumpulan 15 Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menolak kepimpinan Mahiaddin sedia menyokong pencalonannya.
Begitu pun, jika akhirnya Naib Presiden UMNO itu berjaya menjadi Perdana Menteri yang baru menggantikan Mahiaddin, berikut adalah lima kesan malang yang tidak dapat dielakkan:-
Pertama, apabila beliau menjadi Perdana Menteri, bermakna kerajaan PN akan terus memerintah negara ini.
Dengan itu, kerajaan yang terus mentadbir negara adalah kerajaan gagal yang selama ini dikecam, dihentam dan dibenci rakyat, cuma bertukar nakhodanya saja.
Menteri dan timbalan menteri yang akan dilantiknya juga tidak mungkin banyak berbeza dengan menteri dan timbalan menteri lantikan Mahiaddin sedia ada.
Dengan itu, apa yang rakyat dan negara boleh harap ada perubahan jika yang mengambil alihnya adalah pewaris sebuah kerajaan yang gagal ?
Kedua, Ismail Sabri adalah pemimpin yang tidak akur dengan ketetapan parti apabila MT UMNO membuat keputusan menarik sokongan terhadap Mahiaddin dan kerajaan PN.
Sementara 15 Ahli Parlimen UMNO menunjukkan kesetiaan dengan membuat surat akuan yang dihantar kepada Yang Dipertuan Agong serta meletak jawatan daripada kerajaan, Ismail Sabri adalah antara 23 Ahli Parlimen UMNO yang terus degil menunjukkan kesetiaan menyokong Mahiaddin.
Jika beliau akhirnya menjadi Perdana Menteri, bermakna pemimpin UMNO yang patuh dan setia kepada parti telah tewas dalam perjuangan mereka, sebaliknya yang ingkar dan derhaka beroleh nikmat serta kejayaan.
Ketiga, idea awal mencalonkan nama Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bukan datang daripada UMNO, tetapi datang daripada Bersatu atas kepentingan pemimpin parti itu untuk mengekalkan jawatan menteri dan timbalan menteri masing-masing dalam kerajaan.
Ismail Sabri dipilih kerana beliau lebih disenangi dan dipercayai untuk menjamin masa depan pemimpin-pemimpin Bersatu setelah ketiadaan Mahiaddin mengetuai kerajaan.
Jadi, Ismail Sabri ini Perdana Menteri daripada UMNO atau Bersatu?
Keempat, dalam masa terdekat, oleh kerana MCA, MIC dan PBRS yang merupakan anggota komponen BN yang pro PN dan Bersatu, adalah dijangkakan apabila Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, ketiga-tiga parti tersebut akan mencadangkan agar beliau mengambil alih jawatan Pengerusi BN daripada Zahid Hamidi.
Alasannya mudah saja, tidak masuk akal kiranya Perdana Menteri tidak mengetuai mana-mana gabungan yang mampu meletakkan dirinya lebih bertaring dalam mencengkam kuasa politik.
Maka, termenjadinya Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah juga titik malang buat Zahid Hamidi.
Kelima, dengan menjadi Perdana Menteri juga, desakan untuk memaksa pengunduran Zahid Hamidi atau mempercepatkan pemilihan UMNO bagi memberi laluan kepada beliau menjadi Presiden UMNO pasti akan lebih bergema lagi selepas ini.
Bersama penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan sebelum ini dianggap tidak sah, apatah lagi jika Menteri Dalam Negeri terus dikekalkan kepada Hamzah Zainuddin, memperceepatkan pemilihan sudah tidak dapat dielakkan lagi.
Annuar Musa, Shahidan Kassim, Nazri Aziz, Tajuddin Abdul Rahman dan lain tentu saja akan lebih “berkepak” ingin “menyepak”Zahid Hamidi daripada kerusi Presiden UMNO yang sedang didudukinya.
Logik mudahnya, sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri mestilah segera dijadikan Presiden UMNO.
Sama seperti jawatan Pengerusi BN tadi, sekali lagi ini adalah titik malang buat Zahid Hamidi. (ShahbudinHusin 15/08/2021)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan