FMT Reporters
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berbohong terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam akuan berkanun (SD) mereka yang tidak menyatakan syarat bagi mencalonkan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.
Katanya, berdasarkan kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, jelas sokongan mereka adalah bersyarat.
“Saya dapati sokongan MP (Ahli Parlimen) PN ini adalah bertentangan dengan titah Tuanku seperti dalam surat pemakluman dari Speaker Dewan Rakyat. Ini bermakna MP PN telah membohongi YDPA dalam surat akuan bersumpah mereka yang tidak menyatakan syarat.
“Tetapi seperti kandungan kenyataan media dari TSMY Pengerusi PN menyatakan sokongan mereka adalah bersyarat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, berkata sekiranya Ismail terpilih sebagai perdana menteri dan kerajaan yang bakal dibentuk adalah dalam suasana tidak stabil dan aman, serta kucar kacir politik Malaysia akan berulang.
“Oleh itu, satu proses baru perlu dicari oleh YDPA bagi menjamin PM (perdana menteri) yang dilantik nanti adalah daripada seorang yang tidak takut dengan peras ugut politik dalaman seperti yang berlaku dan tidak terikat dengan kepentingan politik parti sendiri,” katanya.
Mahfuz berkata, beliau yakin syarat dan ugutan dibuat PN kepada Ismail menjadikan Malaysia dipengaruhi politik peras ugut bercorak mafia.
“Saya percaya berasaskan pergolakan politik dalaman Umno sebelum kejatuhan TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai PM sudah tentu Ismail Sabri berdepan dengan peras ugut dan syarat yang tidak dilafazkan oleh kumpulan presiden Umno.
“Saya mohon kepada kebawah Duli Tuanku YDPA sebelum membuat keputusan perlu melihat perkara ini sedalamnya demi masa depan kesejahteraan Malaysia tercinta,” katanya.
Dalam kenyataannya itu, Mahfuz turut melampirkan kenyataan media Muhyiddin, hari ini, dengan turut memaparkan Titah Agong berkenaan terutama perenggan 4C, menyatakan ‘pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat’.
Bagaimanapun, dalam kenyataan bekas perdana menteri itu, jelas menyatakan sokongan PN kepada Ismail yang juga naib presiden Umno adalah bersyarat.
Antara syarat disertakan PN adalah Jemaah Menteri yang bakal dilantik terdiri daripada mereka berintergriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan