FMT Reporters
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur, hari ini dipercayai berhubung rancangan pembentukan kerajaan baharu.
Perjumpaan itu menyusul selepas mesyuarat Ahli Parlimen Bersatu setelah Muhyiddin Yassin meluahkan hasrat meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan dijangka menghantar surat perletakan jawatan apabila menghadap Yang di-Pertuan Agong, esok.
Sebilangan Ahli Parlimen mahu mencalonkan Ismail sebagai perdana menteri manakala Hamzah sebagai timbalan perdana menteri, untuk menerajui kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN), Utusan Malaysia melaporkan.
Pertemuan di Royal Chulan dilaporkan bagi mengumpulkan surat akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen untuk menyokong Ismail sebagai perdana menteri.
Antara yang menandatangani SD sedemikian adalah Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz yang dilaporkan berkata, beliau menandatangani dokumen berkenaan hari ini.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejauh masa usaha menampilkan Ismail sebagai calon perdana menteri menggantikan Muhyiddin akan berhasil. Ismail dilantik Timbalan Perdana Menteri Julai lalu.
Menurut laporan, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga disebut sebagai calon perdana menteri yang akan ditampilkan dengan sokongan parti tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan