"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setelah PM letak jawatan, Agong akan meminta ketua pembangkang terlebih dahulu untuk membuktikan dia ada majoriti

PM hilang majoriti: Ini pandangan penganalisis

Malaysiakini 

Sekiranya seseorang perdana menteri didapati kehilangan majoriti sokongan, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan dia hendaklah meletakkan jawatan atau memohon pembubaran parlimen, kata penganalisis politik, Prof Mohammad Agus Yusoff.

Jelasnya, meletak jawatan adalah pilihan perdana menteri dan bersetuju dengan permintaan pembubaran parlimen pula merupakan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 40(2)(b).

"Setelah perdana menteri meletak jawatan, soal pemilihan jawatan itu adalah kuasa budi bicara Agong untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

"Siapa Agong akan pilih? Mengikut konvensyen, Agong akan meminta ketua pembangkang terlebih dahulu untuk membuktikan dia mempunyai majoriti.

"Sekiranya tidak ada, Agong akan meneruskan pertimbangan baginda untuk memilih sesiapa yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tulisan itu merujuk kepada isu keabsahan majoriti yang kini dihadapi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas didakwa tidak lagi mendapat sokongan yang cukup untuk terus menerajui negara.

Pada 13 Ogos lalu anggota parlimen Pagoh itu menegaskan dia tidak akan meletak jawatan kerana ketika ini tiada mana-mana ahli parlimen yang mendapat sokongan majoriti ahi Dewan Rakyat.

Tak bentang undi percaya

Bagaimanapun kenyataan itu dikecam pelbagai pihak kerana dianggap membelakangkang kuasa Agong yang mempunyai peranan menentukan tahap sokongan tersebut.

Hari ini Malaysiakini melaporkan, Muhyiddin dijadual menghadap Agong untuk mempersembah maklum hasratnya meletak jawatan. Bagaimanapun terserah kepada baginda untuk menerima peletakan tersebut atau sebaliknya. 

Agus menjelaskan, seseorang perdana menteri tidak boleh diganti dengan timbalan perdana menteri secara automatik, sebaliknya proses lantikan itu harus bermula dari awal.

Hanya selepas Agong berpuas hati ada calon yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan, barulah perdana menteri baru boleh dilantik.

Merujuk kepada peristiwa peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada 18 tahun lalu, Agus berkata, timbalan perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dilantik mengisi kekosongan berkenaan kerana Agong ketika itu yakin dia memiliki sokongan majoriti ahli dewan.

"Apa berlaku setelah Agong memilih perdana menteri? Perdana menteri yang baru dilantik perlu mendapatkan undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat.

"Dalam sejarah kita, perdana menteri yang tidak membentangkan undi percaya di dewan setelah dilantik ialah perdana menteri sekarang," katanya.

Pada masa sama pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia iut berharap siapa pun yang dilantik selepas ini, tokoh tersebut diharap mampu mengurus negara dengan baik kerana tanggungjawab yang menunggu adalah berat.

"Kita akan terus memainkan peranan untuk menegur dan mengkritik kepemimpinan baru.

"Menegur dan mengkritik bukanlah bermaka kita menyokong kerajaan atau pembangkang, tetapi tanggungjawab kita bersama untuk menjaga negara," katanya.

Tiada ulasan: