"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Politik di takuk lama?

ISMAIL HASHIL YAHAYA

Mencetus atau membawa pemikiran politik baharu yang jernih dalam kalangan ahli parlimen atau warisan politikus baharu masih tidak bergerak di negara ini. Kita masih berada di acuan lama, suka atau tidak kebanyakannya bersumber dan lahir dari Umno dan berakhir dengan Umno, iika diperhatikan kepada situasi semasa. Kebanyakan parti yang lahir dahulu dan sekarang iaitu Bersatu, Pejuang, PKR, Semangat 46 dan beberapa parti-parti kecil di semenanjung akhirnya jika dirintis sejarah dan tuk neneknya akan menjumpai Umno sebagai salasilahnya.

Asal Pas pun adalah pecahan golongan ulama yang keluar daripada Umno, Malah tidak keterlaluan dikatakan dikatakan Umno adalah Adam (bagi nama bukan sifat nabi) bagi sejarah politik melayu di Semenanjung. Walaupun terdapat parti politik Melayu seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Kesatuan Melayu Muda, kedua-dua telah dimatikan British, diharamkan dan disembelih keturunannya untuk tumbuh sebagai parti utama Melayu.

Cubaan demi cubaan dan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak menjadI Perdana Menteri yang sentiasa dalam pengiraan jumlah Ahli Parlimen sentiasa tercicir dalam bilangan kerusi daripada sokongan puak-puak konservatif Melayu sama ada Umno dan seangkatan dengannya.

Biarpun Datuk Seri Ismail Sabri atau Anwar menjadi Perdana Menteri sekalipun rasanya suatu pendidikan yang melahirkan politikus baharu harus dimulai atau yang telah dimulai harus berdasarkan projek 10 tahun melahirkan politikus Melayu kritis. Jika tidak kita akan selamanya berada dalam sumber kolam yang sama penuh pencemaran dan racun.

Perkataan baharu pun sudah dipandang secara sinis kerana soalan yang akan timbul apa yang baharu, menjadi suatu ejekan pula. Perkataan baharu yang disebut kereta lama cat baharu atau botol kicap yang sama atau dengan jenama yang sama cuma dimasukkan cecair kicap yang baharu. Kicap hitam siapa tahu yang bermutu atau tidak, lama atau baharu. Ia hanya didakwa sebagai kicap baharu.

Peranan ini harus dimainan oleh bukan sahaja oleh politikus kanan dan parti-parti politik dengan gagasan kritis tetapi golonan pendidik, NGO, dan mereka yang terlatih, mahir, berpengalaman dan berkecenderungan mendidik generasi akan datang supaya politik bersih daripada rasuah, unsur kleptokrasi, mengaut kekayaan dan salah guna kuasa, tidak menggunakan ketuanan Melayu dan ancaman kepada Melayu oleh kaum lain sebagai senjata meraih undi, pengaruh dan sokongan membuta tuli.

Pendidikan (sama ada formal atau tidak) ini harus melahirkan parti-parti baharu (yang tidak bersusur galur daripada Umno atau NGO yang mencabar parti dinosaur bertanding di pilihan raya masuk ke parlimen. Mereka harus dididik untuk berkorban demi raykat dengan tiada kepentingan-kepentingan seperti disebutkan.

Instituisi keluarga juga harus memainkam peranan dalam mendidik bagi melahirkan generasi politikus baharu ini. Pendidikan harus ditumup bukan sahaja bandar tetapi di luar bandar kerana kebanyakan masyarakat konservatf berada di luar bandar.

Saya tertarik bagaimana Turki daripada sebuah negara totok sekular dapat merubah minda rakyatnya untuk kembali kepada Islam. Kita boleh belajar bagaimana Bediuzaman Said Nursi dengan Risalah I nurnya, Adnan Menderes, Necmettin Erbakan, Fetullah Gulen (didakwa sebagai terlibat dalam rampasan kuasa menjatuhkan Erdogan namun ada juga sumbangan beliau kepada pendidikan Islam di Turki)) dan Reccep Tayyip Erdogan melahirkan generasi muda dengan politik Islam yang mentakrifkan semula maksud sekularisasi di Turki. Bagaimana rakyatnya menyokong parti-parti Islam di Turki dan bagaimanakah pendidikan politik melahirkan pemimpin-pemimpin Islam yang berkaliber di Turki.

Di Malaysia terdapat dua kecenderungan melampau iaitu dalam kalangan pengikut atau pelampau ada antara mereka yang apabila disebut nama Anwar sahaja kebenciannya akan meluap entah apa salah Anwar kepada orang tersebut pun tidak tahu dan terdapat generasi muda yang menyampah dan membenci politik dan tidak mahu membicarakan mengenainya disebabkan oleh kerenah sang politikus.

Dalam hubungan ini Amanah dan mungkin juga Muda boleh merintis kepada pembentukan asas kepada pendidikan politik kritis di negara ini di samping menantikan kelahiran NGO dan parti-parti baharu dengan tema Melayu kritis mewarnai senario politik Malaysia.

Malaysia harus merintis ke arah kelahiran generasi politikus baharu dalam era pasca Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad.


Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

Tiada ulasan: