"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengawal keselamatan mengaku 'mengintip' untuk Rusia

AFP

London: Seorang pengawal keselamatan British di Kedutaan United Kingdom (UK) di Jerman, mengaku bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi selepas mengaku menyampaikan maklumat kepada Rusia.

David Ballantyne Smith, 58, bertindak sedemikian kerana mungkin didorong rasa kebencian yang mendalam terhadap tanah airnya.

Smith sudah bekerja di Kedutaan Berlin selama lapan tahun.

Dia mengaku atas lapan pertuduhan minggu lalu, tetapi itu tidak dapat dilaporkan pada masa itu kerana dia menafikan pertuduhan kesembilan.

Pendakwa raya berkata, mereka tidak akan mendesak untuk perbicaraan bagi pertuduhan kesembilan.

Smith hidup di luar kemampuannya, tetapi wang tunai 800 euro (kira-kira RM3,839) ditemukan di rumahnya di Potsdam apabila dia ditangkap oleh polis Jerman pada Ogos tahun lalu, menurut mahkamah Old Bailey.

Pencarian pada peranti elektroniknya menemui draf surat bertarikh Mei 2020 di mana dia menawarkan perkhidmatannya kepada seorang diplomat Rusia.

Selepas surat itu, dia berhubung dengan Sergey Chukhurov, atase tentera Rusia di Berlin, dan menyerahkan maklumat mengenai pelbagai kakitangan awam Britain.

Dia mengumpul risikan mengenai operasi kedutaan dan menyampaikan beberapa bahan yang secara rasmi ditanda 'Rahsia'.

Smith berdepan hukuman penjara maksimum 14 tahun kerana mengintip.

Tiada ulasan: