Shakira Buang, Hasapaizi Zain, Hariz Mohd & Ng Xiang Yi
Sudah tiba masanya untuk Umno bertindak lebih tegas dalam berdepan dengan pengkhianatan dari dalam parti itu sendiri.
Lebih-lebih lagi selepas kekalahan teruk Umno dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu.
Desakan itu dibuat oleh ketiga-tiga sayap parti itu dalam ucapan dasar ketua-ketuanya hari ini.
Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pengkhianat perlu disingkirkan daripada terus merosakkan institusi politik Melayu terbesar itu.
Asyraf berkata, gunting dalam lipatan itu hanya mengutamakan diri berbanding parti.
"Episod ‘tikam belakang’ dalam Umno bermula selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, yang segelintir pemimpinnya dikatakan lebih taat terhadap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berbanding presiden parti sendiri.
"Atas asas inilah, dalam dua ucapan dasar sebelum ini, Pemuda tidak pernah berganjak dengan pendirian untuk terus mempertahankan institusi kepimpinan parti without fear or favour.
"Justeru, Pemuda mendesak agar saki baki pengkhianat parti yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengutamakan diri daripada parti agar disingkirkan daripada terus menjadi barah yang merosakkan seluruh organ dan jasad parti Umno ini," katanya.
Tegas Asyraf, Pemuda Umno juga tidak boleh hipokrit dengan “melambung pemimpin tatkala menang, tetapi memijak lumat pemimpin tatkala jatuh kecundang”.
"Lebih menyedihkan apabila kewujudan api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut yang berkempen dalam pilihan raya dengan cara mengutuk parti dan presidennya sendiri.
"Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi,' katanya.
Tambahnya, sesetengah calon Umno juga memilih untuk menjadi ‘hero’ dengan mencerca parti.
"Dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan Umno yang sesat, rosak dan korup. Seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna, dan paling hebat segala-galanya.
"Apa hodoh sangatkah Umno yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri? Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti?” soalnya.
‘Perlu pembaharuan segera’
Desakan yang sama turut dibuat Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad yang berkata parti itu perlu melakukan pembaharuan penting itu dengan kadar segera.
"Semalam, presiden (Ahmad Zahid Hamidi) dan timbalan presiden (Mohammad Hassan) telah menyentuh bahawa kekalahan kita adalah berpunca daripada faktor luaran dan dalaman.
"Dari luar, kita kalah akibat permainan persepsi yang amat-amat dahsyat didorong oleh sumber kewangan yang tidak dijangka seperti yang telah ditularkan.
"Dari dalam pula, kita kalah akibat sebahagian daripada kita yang tidak pernah berhenti menembak kaki sendiri.
"Kekurangan ini menginsafkan kita bahawa Wanita memerlukan tekad untuk melangkah ke hadapan. Pembaharuan penting mesti segera dilaksanakan dan pembersihan dalaman parti harus dilakukan secara total tanpa kompromi," kata Noraini.
Zahida ingatkan pada disiplin parti
Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan mengingatkan semua perwakilan dan seluruh kepimpinannya bahawa parti itu mempunyai disiplin.
Tegasnya, mana-mana pemimpin yang merasakan dirinya lebih besar daripada parti harus diambil tindakan disiplin.
"Mana-mana yang terbukti cuba memusnahkan parti perlu diambil tindakan segera. Berparti ada adabnya, tiada tempat untuk mereka yang biadap terhadap parti.
"Saya ulang, kita tidak boleh bertolak-ansur dengan mereka yang mengkhianati parti tidak kiralah ahli biasa atau yang memegang jawatan, tindakan mesti diambil segera," katanya.
Tambah Zahida, pengkhianat parti adalah barah kepada Umno.
"Barah jika tidak dipotong dia akan merebak dan merosakkan seluruh sistem tubuh yang bernama Umno.
"Kita kena sanggup sakit dibedah hari ini daripada kita menderita di peringkat kelima yang akan memusnahkan seluruh tubuh badan kita," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan