Anne Muhammad dan Nora Mahpar
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno (PAU) meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan menerusi pungutan suara dilakukan sebentar tadi.
Ini bermakna jawatan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Mei ini.
Pemilihan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.
Dalam kalangan perwakilan, beberapa negeri mencadangkan jawatan “top 2” parti dipertandingkan, manakala beberapa negeri menolak cadangan itu.
Sumber memberitahu FMT, 3/4 dewan menyokong usul itu manakala baki yang tidak menyokong dikehendaki bangun.
Kata sumber yang enggan dinamakan itu, sejurus proses pengundian selesai, separuh dewan kembali kosong.
“Mungkin mereka malas nak dengar Zahid berucap atau mereka dah ‘fed up’,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Khairy Jamaluddin mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul sempena PAU.
Menerusi satu video di TikTok, beliau berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan “perwakilan import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.
Beliau menganggap dakwaan Khairy sebagai fitnah dan meminta bekas menteri kesihatan itu memohon maaf kepada semua perwakilan Umno dan petugas yang hadir.
Sementara itu, Isham dalam catatan di Facebook mengesahkan semua usul termasuk usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar, diterima dan disokong majoriti perwakilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan