"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH-BN Boleh Menang 53 Kerusi DUN Dalam PRN Selangor

MALAYSIADATELINE

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berpotensi untuk menawan kira-kira 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika kedua-duanya bergabung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata jumlah itu diperoleh berdasarkan dapatan awal menerusi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dengan 40 kerusi DUN memihak kepada PH.

“Berdasarkan dapatan (awal) PRU15 lalu, PH kuasai dalam 40 kerusi. Tetapi jika PH dan BN bergabung dan adanya kestabilan undi antara parti ini, kita mampu untuk menang di 53 daripada 56 kawasan DUN.

Bagaimanapun kita kena lihat dahulu sentimen rakyat dalam tempoh enam bulan akan datang dan  isu kebolehpindahan undi di samping pelaksanaan beberapa program dan isu di peringkat Persekutuan dan Selangor (untuk menang PRN),” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor bagaimanapun berkata setakat ini PH masih belum mengadakan perbincangan dengan BN berhubung kerjasama itu.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya Nasional berkata isu dalaman UMNO tidak akan mempengaruhi persediaan PH khususnya PKR untuk berdepan PRN yang dijangka berjalan serentak di keenam-enam negeri pada pertengahan tahun ini.

“PH akan terus buat persiapan dengan sasaran PH boleh pertahankan ketiga-tiga negeri (Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang) dan kita menyasarkan akan menang di kerusi tradisional di Kedah,” katanya.

Katanya gerak kerja bagi PRN keenam-enam negeri itu dijadual akan dimulakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu Rafizi berkata, pihaknya akan terus membuat bantahan pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya wujud ucapan berbaur perkauman dalam tempoh kempen dalam PRN akan datang seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Bagaimanapun Rafizi berkata pihaknya tidak mahu memanjangkan soal ucapan-ucapan berbaur perkauman yang didakwa diucapkan oleh Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau berkempen dalam PRU kerana ia akan memberi ruang kepada lebih banyak polemik.

Menyentuh tentang isu pemecatan bekas Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua bersama empat lagi ahlinya pula , Rafizi berkata semua ahli yang dipecat boleh merayu dalam masa 14 hari sekiranya ingin kembali kepada parti itu.

“Lembaga Rayuan selepas meneliti rayuan, akan membentangkan kembali perkara itu kepada MPP (Majlis Pimpinan Pusat) untuk membuat keputusan akhir. Saya rasa, terpulang kepada dia untuk rayu terus kepada presiden dan sebagainya, itu hak dia.

Namun kita juga kena berlaku adil kepada semua (ahli lain yang dipecat) dan proses itu adalah melalui Lembaga Rayuan,” katanya yang mengulas mengenai status bekas Ahli Parlimen Batu itu yang didakwa membuat terus rayuan berhubung perkara itu kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

— BERNAMA

Tiada ulasan: